Selasa, 15 Januari 2013

NASEHAT




Siraman Minda
Siraman Minda
01 Apakah yang Kita Perjuangkan

Alhamdulillah, diwaktu ini ramai kita melihat orang-orang perseorangan, jemaah, parti dan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan Islam dalam berbagai bentuk dan ragamnya. Ramai yang mengakui mereka itu pejuang-pejuang Islam.
Ada yang memperjuangkan Islam di bidang politik. Mereka mahu parti mereka memegang tampuk pimpinan negara. Mereka mahu hukum hudud dilaksanakan. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ekonomi. Mereka mahu tegakkan sistem perbankan Islam, sistem takaful Islam, sistem pinjaman wang dan pembelian secara Islam dan sebagainya. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ibadah. Mereka mahukan semua orang datang ke masjid dan surau untuk beribadah dan untuk menegakkan sunnah terutama di bidang ibadah. Mereka mahu orang berusaha untuk mengejar pahala dan fadilat. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ilmu. Buka sekolah, madrasah, kolej dan universiti Islam supaya ilmu Islam dapat dikembangkan dan berbagai-bagai lagi.
Namun semua ini tertumpu kepada hal-hal syariat. Semuanya tertumpu kepada soal lahir. Hudud, ekonomi, ibadah dan ilmu itu semuanya adalah soal lahir dan soal syariat belaka.
Orang-orang dan kumpulan-kumpulan ini nampak gigih berjuang. Mereka seolah-olah berada dimana-mana. Tetapi mereka tidak sedar bahawa perjuangan mereka itu, walaupun dibuat di atas nama Islam, sangat jauh tersimpang dari kehendak Tuhan. Ia jauh tersimpang dari cara Rasulullah SAW berjuang. Perjuangan mereka bukan sahaja tidak lengkap, tidak bulat dan tidak syumul, malahan ia telah lari dari matlamat perjuangan sebenar sepertimana yang Rasulullah ajar kepada kita.
Agama yang Rasulullah bawa terdiri dari tiga perkara pokok, iaitu: • Iman • Islam • Ihsan Iman itu ialah aqidah. Islam itu ialah syariat. Ihsan itu ialah tasawuf. Oleh itu, kalau kita perjuangkan Islam sahaja iaitu syariat, apa pula halnya dengan iman dan ihsan. Dimana aqidahnya. Di mana pula tasawufnya. Syariat tanpa aqidah dan tasawuf tertolak. Tuhan tidak terima. Agama itu bukan syariat sahaja. Ia merangkumi juga aqidah dan tasawuf. Lebihlebih lagilah aqidah sebab ia soal pokok. Memperjuangkan syariat semata-mata tanpa aqidah belum boleh dikatakan memperjuangkan agama.
Perjuangan agama mesti dimulakan dengan iman atau aqidah. Iman dan aqidah adalah soal ketuhanan. Oleh itu, perkara pertama di dalam memperjuangkan agama ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia, supaya manusia kenal Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut dengan Tuhan. Apabila manusia sudah cinta dan takut dengan Tuhan, syariat mudah ditegakkan. Tidak perlu diperjuangkan sangat. Sudah tentu orang yang cinta pada Tuhan akan suka melaksanakan apa sahaja yang Tuhan suruh. Sudah tentu juga, orang yang takut pada Tuhan tidak akan mahu melanggar perintah dan larangan Tuhan.
Matlamat agama bukan syariat. Matlamat agama ialah Tuhan. Khususnya mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan. Hanya dalam kita hendak menyembah, mengabdi diri, berbakti dan membesarkan Tuhan, kita tidak boleh memandai-mandai dan mencipta cara kita sendiri. Itu sebabnya syariat diturunkan. Syariat adalah jalan atau cara untuk kita menyembah, membesar dan mengagungkan Tuhan sepertimana yang Tuhan mahu.
Tidak boleh kita memperjuangkan agama tanpa kita perjuangkan Tuhan dan mempromosikan Tuhan kepada manusia. Tidak boleh kita perjuangkan syariat tanpa kita perjuangkan Tuhan terlebih dahulu. Nanti akan terjadi dalam perjuangan kita itu tidak ada Tuhan.Dalam pemerintahan kita, tidak ada Tuhan. Dalam hukum hudud kita, tidak ada Tuhan. Dalam ibadah kita, tidak ada Tuhan dan dalam ilmu kita juga tidak ada Tuhan. Takut-takut nanti kita membesarkan syariat tetapi tidak membesarkan Tuhan.
Orang yang hendak Islam dan orang yang hendak Tuhan tidak sama. Orang yang memperjuangkan Tuhan akan dapat Islam kerana Islam itu Tuhan punya. Akan tetapi, orang yang memperjuangkan Islam belum tentu akan dapat Tuhan.
Perjuangan yang tidak ada Tuhan di dalamnya ialah perjuangan ideologi, bukan perjuangan agama. Dalam perjuangan ideologi memang tidak ada Tuhan. Oleh itu, kalau dalam perjuangan kita tidak ada Tuhan, maka samalah perjuangan kita itu dengan perjuangan komunis, sosialis dan demokrasi. Dalam perjuangan agama, mesti ada Tuhan. Malahan dalam perjuangan agama, soal Tuhan adalah soal pokok. Soal syariat, sama ada syariat lahir atau syariat batin (tasawuf), ia jatuh nombor dua.
Jangan kita gunakan hujah bahawa umat Islam sudah kenal Tuhan. Itu sebab mereka Islam. Oleh itu tidak perlu lagi kita bawa mereka kepada Tuhan. Umat Islam hanya perlu memperjuangkan dan menegakkan syariat sahaja.
Hujah itu tidak masuk akal dan sangat jauh dari realiti. Siapa kata umat Islam sudah kenal Tuhan? Siapa kata umat Islam itu Islam kerana mereka kenal Tuhan? Orang yang benarbenar kenal Tuhan tidak akan berperangai dan berwatak seperti kebanyakan umat Islam yang ada pada hari ini. Cuba kita tanya, berapa peratus umat Islam yang bersembahyang. Sedangkan meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu kufur hukumnya. Dan orang yang meruntuhkan sembahyang itu sebenarnya meruntuhkan agama. Sedarlah kita bahawa lebih dari 75% umat Islam tidak sembahyang lima waktu secara tetap dan istiqomah? Sedarkah kita bahawa 75% umat Islam kerjanya hari-hari ialah meruntuhkan Islam kerana mereka meruntuhkan sembahyang? Inikah orangnya yang kenal Tuhan? Inikah orangnya yang hendak kita harapkan untuk menegakkan syariat?
Cuba pula kita lihat berapa banyak umat Islam yang terjebak dan terlibat dengan bermacam-macam bentuk maksiat. Baik menagih dadah, minum arak, pergaulan bebas lelaki perempuan, berjudi, berzina, rogol, buang anak, membunuh, mencuri, merompak, pecah rumah, pop, rock, metal dan sebagainya. Inikah kerja umat yang kenal Tuhan? Inikah umat yang layak dan mampu menegakkan syariat?
Percaya Tuhan itu lain. Kenal Tuhan itu lain. Memang umumnya umat Islam percaya Tuhan. Tetapi berapa keratkah umat Islam yang kenal Tuhan. Setakat percaya Tuhan, orang Nasrani pun percaya Tuhan. Orang Yahudi pun percaya Tuhan. Malahan orang Hindu pun percaya Tuhan. Setakat percaya Tuhan sahaja tidak cukup untuk membina aqidah dan pegangan. Tanpa aqidah dan pegangan, jangan kata hendak menegakkan seluruh syariat, hendak mengamalkan fardhu ain atas diri sendiri pun susah. Hendak mengelak dari melakukan dosa dan maksiat lebih-lebih lagi susah.
Orang yang kenal Tuhan ialah orang yang arifbillah. Dia bukan setakat tahu sifat-sifat Tuhan tetapi dia merasa bertuhan. Sifat-sifat Tuhan itu tertanam dan mencengkam hati sanubari dan perasaannya. Di mana sahaja dia pergi dan apa juga yang dia buat, dia sentiasa merasa Tuhan melihatnya, mendengarnya dan mengetahui segala apa yang terdetik di hatinya. Dia rasa hebat, gerun, malu, berdosa dan lemah di sisi Tuhan.
Orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang ada kekuatan untuk menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang akan diberi hidayah dan taufik dan yang akan dibantu oleh Tuhan.
Orang yang hanya setakat percaya dan tahu sifat-sifat Tuhan, mereka ini orang-orang yang lemah aqidah. Mereka dicorak oleh suasana. Mereka tidak mampu mencorak atau mengubah suasana. Kalau suasana rosak, mereka ikut rosak. Mana mungkin orang macam ini dapat menegakkan syariat. Kerja menegakkan syariat ini kerja berat walaupun syariat yang hendak ditegakkan itu syariat yang ringan sahaja. Jangan cakap pasal hudud. Itu berat sangat. Hendak tutup aurat dan pakai tudung pun mereka tidak mampu. Hendak berhenti menghisap rokok pun payah.
Rata-rata umat Islam adalah Islam tradisi. Mereka Islam kerana mak ayah dan datuk nenek mereka Islam. Mereka jadi Islam secara tidak sengaja, sedar-sedar sahaja sudah Islam. Islam mereka bukan di atas kesedaran atau pilihan hati. Mereka tidak kenal Tuhan. Tidak hairanlah mereka tidak kenal syariat. Halal haram pun mereka tidak tahu.
Jelaslah bahawa untuk memperjuangkan agama, Tuhan mesti diperjuangkan dahulu. Tuhanlah matlamat kita dan Tuhan lah yang akan memimpin dan menolong kita. Syariat bukan matlamat. Syariat hanya cara, jalan dan kaedah. Apa gunanya kita memperjuangkan cara dan kaedah kalau ia tidak membawa kita kepada Tuhan. Bukankah tujuan kita beragama untuk mendapat Tuhan?
Disamping itu, perjuangan agama bukan sahaja untuk umat yang sudah Islam. Ia juga untuk manusia yang belum Islam. Oleh itu, kalau syariat sahajalah yang kita perjuangkan, bagaimanakah orang bukan Islam dan orang-orang kafir akan tertarik dengan Islam? Fitrah manusia tidak tertarik dengan syariat. Malah sesetengah syariat itu dipandang payah, susah dan menakutkan. Fitrah manusia inginkan Tuhan. Setelah betul hubungan manusia dengan Tuhan dan setelah manusia benar-benar kenal, cinta, takut dan beriman dengan Tuhan, barulah mereka akan mampu menerima syariat walaupun payah dan susah. Bukan senang hendak sembahyang, bukan senang hendak bayar zakat, bukan senang hendak menerima hukum hudud dan sebagainya. Hatta berkhatan pun ramai orang bukan Islam takut.
Kalau memperjuangkan syariat salah dan memperjuangkan Islam pun salah, jadi apakah sebenarnya yang patut kita perjuangkan? Tuhan mahu kita perjuangkan kebenaran. Rasulullah juga mengajar kita memperjuangkan kebenaran. Yang perlu kita tegakkan bukan setakat syariat, bukan setakat Islam tetapi kebenaran.
Apakah maksud memperjuangkan kebenaran? Memperjuangkan kebenaran bermula dengan memperjuangkan Tuhan. Mengajak manusia kepada Tuhan. Mengajak manusia merasa kebesaran dan keagungan Tuhan. Mengajak manusia kepada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita perlu wujudkan dan betulkan hubungan kita dengan Tuhan. Di antara lain kita perlu kenal, beriman, yakin, tawakal, bergantung harap, berserah diri, taat, patuh, baik sangka, cinta dan takut dengan Tuhan.
Termasuk juga memperjuangkan kebenaran ialah memperjuangkan segala perintah Tuhan baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan, hukum hakam, peraturan dan segala sistem yang Tuhan telah tetapkan di dalam semua aspek kehidupan. Ini termasuklah dalam ibadah, pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.
Ketiga ialah memupuk perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, keharmonian, saling bertolong bantu dan bela-membela sesama manusia. Juga kita perlu perjuangkan akhlak dan budi pekerti manusia.
Inilah kebenaran dan inilah yang mesti diperjuangkan. Bila disebut kebenaran, ada Iman didalamnya, ada Islam di dalamnya, ada Ihsan di dalamnya. Dalam erti kata yang lain, ada aqidah didalamnya, ada syariat didalamnya dan ada tasawuf di dalamnya. Maka lengkap dan syumullah perjuangan itu. Kalau agama diperjuangkan secara serpihan dan tidak mengikut cara dan kaedah perjuangan Rasulullah, sudah pasti ia akan gagal. Yang lebih bahaya lagi, ia akan melahirkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan. Orang yang memperjuangkan syariat tanpa Tuhan, kalau dia berwatak pasif, dia akan jadi beku dan jumud. Kalau dia berwatak agresif, dia akan jadi kasar dan militan. Walau apa pun, kedua-duanya tidak betul dan menyalahi kehendak Tuhan.
Agama Islam itu agama kebenaran. Memperjuangkan agama Islam itu adalah memperjuangkan kebenaran. Kebenaran adalah dari Tuhan. Oleh itu dalam hendak menegakkan agama Islam, Tuhan tidak boleh diketepikan. Tidak akan ada kebenaran kalau tidak ada Tuhan.
02 Bukan Senang Menjadi Pemimpin

Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah SAW. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah.

Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah,kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan.Cukup dia menjaga dirinya sahaja. Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu. Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu. Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim dari dia.

Tapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu tafsiran baru yang lebih penting lagi daripada tafsiran yang di atas. Allah temukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s., tapi Allah tukar peranan masing-masing. Seolah-olah Allah berkata, Hai Musa engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut. Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut. Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja. Berjaya tak?

Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, Kalau nak ikut aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita.

Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu. Nabi Musa tidak tahan, dia tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan dia sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita. Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir bunuh budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, dia bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi dia diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya.

Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah. Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul. Pemimpin sepatutnya bersabar dalam mendidik anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat ulul azmi adalah mereka yang paling sabar.

Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia adalah mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan. Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.

Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat.Cuba tengok Nabi Khidir. Atas dasar ilmu dia layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati dia tidak layak.Sebab itu, Nabi Adam waktu dia bertaubat tertungging sujud 40 tahun sampai pokok tumbuh besar di kelilingnya, pun tidak dapat gelaran Ulul Azmi. Mengapa? Dia sujud itu bukan memimpin. Dia dengan Tuhan saja. Dengan Tuhan dia rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah. Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah beliau mendapat darjat Ulul Azmi.

Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian. Oleh itu janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti tidak layak. Bila tidak layak, ia boleh menjadi punca kerosakan yang banyak kepada manusia.

03 Ciri Ciri Pemimpin Berwatak Rasul

  1. 1. Lemah-lembut
  2. 2. Kasih sayang dan pemurah
  3. 3. Tidak emosi
  4. 4. Mendoakan penentang
  5. 5. Kata-katanya penuh hikmah
  6. 6. Mengingatkan kepada Tuhan dan menyedarkan kepada mati
  7. 7. Tutur kata dan bahasanya sangat dijaga
  8. 8. Tenang menerima ujian
  9. 9. Tidak senang dengan pujian
  10. 10. Tidak menjawab kejian
  11. 11. Marahnya dalam batas syariat
  12. 12. Selalu memberi maaf
  13. 13. Sedikit gurauan dan tidak bercakap lucah
  14. 14. Mendengar pandangan
  15. 15. Peka dengan kehidupan rakyatnya
  16. 16. Sangat sabar dengan kerenah manusia
  17. 17. Adil pakaiannya
  18. 18. Pemurah tradisinya
  19. 19. Cita-cita dan kemahuannya tinggi dan keras
  20. 20. Tidak mengugut sesiapa
  21. 21. Tidak kecewa dan putus asa
  22. 22. Musuhnya sangat benci biarpun hati mereka mengakui kebenaran yang dibawanya.
  23. 23. Sangat mencorak masyarakat dan bukan masyarakat yang mencoraknya kerana dia mempunyai prinsip yang teguh.Prinsip hidupnya adalah syariat Tuhan yang amat sempurna yang tidak berubah sepanjang zaman.
  24. 24. Percakapannya atas dasar ilmu yang termasuk dari sumber ilham dalam memahamkan sesuatu ajaran Islam.
  25. 25. Tidak menjawab tuduhan. Atau kalau perlu menjawab tuduhan sekadar menjelaskan sesuatu kekeliruan atau untuk tujuan menghilangkan fitnah.
  26. 26. Tidak mendabik dada atas kejayaan, untuk menghindari syirik khafi kerana menafikan Tuhan dan merasakan dirinya yang berbuat dan yang menempah kejayaan.
  27. 27. Tidak sombong dan menjauhi diri dari mengungkit jasajasanya.
  28. 28. Merendah diri atau tawadhuk.
  29. 29. Bercakap bila perlu, dan banyak diamnya.
  30. 30. Tiada kerja yang sia-sia.
  31. 31. Dirinya menjadi contoh atau model terutamanya dalam aspek berikut:
Bukan mudah untuk menjadi pemimpin.Sedikit sangat jumlah di kalangan manusia yang memiliki ciri-ciri serta syarat-syarat kelayakan sebagai pemimpin.
Dalam ajaran Islam, pemimpin itu adalah orang yang sangat berwibawa dan berupaya membawa manusia kepada Tuhan, punya ilmu untuk menunjuk ajar manusia dengan syariat Tuhan, mampu mendidik hati manusia ke arah iman dan taqwa, mampu menjinakkan nafsu manusia sebagaimana dia menundukkan nafsu dirinya sendiri.Sifat-sifat kekhalifahannya sangat menonjol dan sekaligus sifat-sifat kehambaannya juga seiring, yakni sangat menonjol. Dialah yang berperanan menghubungkan hati manusia kepada Tuhan.
Di dunia hari ini orang yang bergelar Presiden, Perdana Menteri, Sultan, Raja, Amir, Yang Dipertua, Pengerusi atau apa saja panggilan, yang kedudukan mereka di atas, atau status sosial mereka yang paling tinggi, sebenarnya bukan pemimpin. Mereka tidak lebih dari pentadbir atau pengurus. Mereka tidak pernah memimpin manusia. Mereka hanyalah orang yang mentadbir dan menguruskan benda, pembangunan,kemajuan, makan minum, pelajaran, kesihatan, ekonomi,pertanian, kewangan dan lain-lainnya.
Mereka bukan sahaja tidak membawa hati manusia kepada Tuhan, bahkan kadang-kadang menjadi penghalang kepada manusia lain yang mahu kepada Tuhan. Mereka bukan sahaja tidak mengatur kehidupan manusia dengan syariat, bahkan melalui kuasa yang ada mereka menjadi penganjur maksiat dan kemungkaran.
Inilah di antara salah faham manusia tentang kepimpinan.Sebab itu tidak hairan, dimana-mana saja berlaku perebutan untuk menjadi pemimpin. Ada yang sanggup hingga ke peringkat mengorbankan nyawa pengikut demi mencapai cita-cita kepimpinannya. Adakalanya tercetus permusuhan, jatuh menjatuh, tindas menindas bahkan peperangan hingga puluhan tahun kerana perebutan untuk menjadi pemimpin.
Sedangkan masing-masing hanyalah menegak dan memperjuangkan kepalsuan. Siapapun yang berjaya, tetap tidak mengubah apa-apa erti kepimpinan itu selain mentadbir dan mengurus hal yang sama yang tiada sangkut paut dengan hati manusia.
Seluruh alam semesta ini adalah milik Tuhan. Manusia diberi amanah untuk menjadikan seluruh alam semesta ini sebagai alat untuk mentaati Tuhan. Semua keperluan yang Tuhan sediakan, tidak lain kecuali untuk manusia melihat kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sekaligus merasakan betapa kerdilnya diri, lantas tunduk dan patuh kepada Tuhan.
Namun, nafsu sering menyelewengkan maksud dan tujuan Tuhan tersebut. Nafsu sentiasa saja menjadikan manusia hanya tertumpu kepada seluruh makhluk ciptaan Tuhan tetapi melupai Tuhan yang menciptanya.
Lantaran itulah Tuhan utus para rasul, yang tujuan utamanya ialah untuk mengembalikan tujuan asal penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Tuhan. Bahkan Tuhan jadikan fitrah semulajadi manusia itu mengenali Tuhan. Fitrah itulah yang dibongkar oleh para rasul.
Selepas ketiadaan para rasul, tugas membawa manusia kepada Tuhan dilakukan oleh para ulama dan para pejuang Islam khususnya mereka yang berwatak rasul. Sebab mana mungkin seseorang itu membuat kerja-kerja rasul, kalau dia tidak mewarisi watak-watak rasul. Jadi, kejayaan mereka sangat bergantung kepada sejauh mana mereka mewarisi sifat-sifat, ciri-ciri, akhlak dan keperibadian para rasul.
Ertinya mereka yang berjaya hanyalah dari kalangan mereka yang menjadi salinan atau photocopy kepada keperibadian Rasulullah SAW. Tentulah tidak akan mencapai 100% kesempurnaan peribadi Rasulullah SAW. Sifatnya sebagai salinan tentulah apa yang dimiliki lebih nipis atau lebih rendah peratusnya, tetapi apa saja yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, itu jugalah yang dimilikinya. Ini bererti bahawa dirinya adalah bayangan Rasulullah SAW.
Pada diri Rasulullah SAW ada tanda-tanda atau sifat-sifat ketuhanan (ayatullah) yang paling tebal dan sempurna.Melihat peribadi dan akhlaknya, fitrah rasa bertuhan yang ada pada manusia amat mudah terbongkar sehingga dengan itu manusia dapat merasa bertuhan.
Contohnya dengan melihat pengasihnya Rasulullah SAW, manusia akan dapat merasa betapa Pengasihnya Tuhan.Demikian juga sabarnya, pemurahnya, kasih sayangnya dan lain-lain, menjadikan manusia jatuh cinta kepada Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang Maha Agung lagi Maha Sempurna itu.
Maka begitu juga Tuhan jadikan kepada pemimpin bayangan Rasulullah SAW di sepanjang zaman. Sehingga dengan itu tidak putuslah manusia ini dari adanya orang yang dapat membawa manusia kepada Tuhan. Manusia terasa indah serta dengan cepat terbongkar rasa bertuhan di hati mereka apabila bertemu dan berdamping dengan pemimpin yang punya akhlak bayangan Rasulullah SAW. Perincian akhlak tersebut adalah seperti berikut.

1. Lemah-lembut

Allah SWT turut memberi peringatan kepada Rasulullah SAW tentang betapa manusia akan lari atau menjauhkan diri sekiranya bersikap keras dan kasar.Kebanyakan manusia yang memang telah sedia liar akan bertambah liar sekiranya para pemimpin menampilkan sikap yang menakutkan mereka. Mereka memanglah dari golongan yang tidak mengenal kebenaran.
Sekiranya pembawa dan penjaga kebenaran bersikap bengis, baran, ganas dan kasar, bagaimanakah mereka dapat menerima kebenaran itu? Adakalanya mereka bukan menolak kebenaran, tetapi menolak para pembawa kebenaran. Apabila pembawa kebenaran ditolak, secara automatic kebenaran tidak dapat disampaikan.Sebelum kebenaran dapat disampaikan, adalah lebih berkesan sekiranya manusia dapat menerima pembawa kebenaran itu dulu.

2. Kasih sayang dan pemurah

Kasih sayang adalah sifat utama milik Tuhan yang Tuhan sendiri mahu hamba-Nya mengenal-Nya dengan sifat tersebut.Sebab itu dalam apa saja pekerjaan atau amal yang kita buat, Tuhan mahu dimulai dengan menyebut nama-Nya yang pemurah dan pengasih.
Pemimpin kasih sayang adalah lambang perpaduan.Manusia dapat bernaung di bawah pimpinannya. Manusia rasa terbela dan terdidik. Melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran. Hati yang liar dari Tuhan akan menjadi jinak.
Ramai manusia yang kehidupannya rosak dan punah berpunca dari ketiadaan kasih sayang. Sebaliknya pula boleh berubah secara mendadak apabila diberikan kasih sayang. Hati yang gersang itu seolah-olah disirami air sehingga benihbenih iman subur semula. Tanpa perlu bersyarah panjang meleret atau tanpa perlu bercakap banyak, melalui kasih sayang, hati manusia merasa bertuhan. Hati manusia akan mudah merasakan. Sedangkan pemimpin kasih sayang sudah terasa keindahan mendampinginya, betapalah Tuhan yang bersifat Pengasih yang menjadikan pemimpin kasih sayang tersebut.

3. Tidak emosi

Seorang pemimpin yang emosional dalam erti kata sangat mudah memperlihatkan perubahan sikap dan wataknya mengikut situasi, sama ada yang menggembirakan atau menyusahkan, sama ada yang seronok atau yang dibenci, sama ada yang disenangi mahupun yang dia meluat.Seringkali emosinya itu tidak dapat dibendung atau dikawal.
Kalau berlaku sesuatu yang disukai, menyeronokkan,yang disenangi dan menggembirakan, diperlihatkan atau diluah atau ditonjolkan keseronokannya secara kelebihan.Begitulah juga sebaliknya terhadap sesuatu yang dibenci, yang tidak disenangi, yang tidak sesuai dengan seleranya, yang dia rasa tidak selesa atau yang dia meluat. Ditunjukkan kebenciannya itu tanpa berselindung.
Bagi seorang pemimpin, keterlaluan dalam menonjolkan emosi akan menjatuhkan maruah dan wibawanya, lebih-lebih lagi kalau emosi itu terhadap apa atau siapa yang dibencinya. Pemimpin sejati pembawa kebenaran bayangan Rasulullah SAW itu tidak emosi terutamanya apabila dikritik.
Kritikan adalah sesuatu yang amat tidak disenangi oleh para pemimpin. Emosinya sangat tergugat, tersentuh dan tercabar apabiladikritik. Mudah saja melenting, melatah, marah-marah, mempertahankan dirinya dan sekaligus akan menyerang kembali saingannya, pengkritik atau musuhnya.
Adakalanya dia kembali menyerang dengan membuta tuli tanpa usul periksa, tanpa menimbang dan menilai kebenaran sesuatu kritikan. Malah sampai diiringi pula dengan tindak balas menghukum pengkritik. Alangkah tidak bermaruah apabila didapati bahawa pengkritik itu di pihak yang benar.Tentulah amat sukar untuk menebus kembali kesilapannya itu. Lantas kadang-kadang terpaksa bertindak lebih ganas untuk menutup segala kesilapannya. Ini akan mendatangkan akibat lebih buruk lagi dimana boleh menghakis kepercayaan lebih ramai manusia terhadapnya.
Seorang pemimpin kebenaran yang tidak emosi akan sentiasa membiarkan kritikan itu berlalu begitu saja. Sama ada dirinya di pihak yang benar atau sebaliknya, emosinya tetap terkawal. Ketenangan itu seringkali membuahkan kesan positif, terutamanya apabila terbukti bahawa dirinya di pihak yang benar. Kalaupun pengkritik tidak menyerah kalah, namun ketenangan itu akan dapat menutup mulutnya atau menjadikan pengkritik itu malu sendiri.
Andainya ada juga benarnya di pihak pengkritik, dengan cara tidak emosi itu dia mengambil langka mengkoreksi dirinya. Dengan cara itu bertambah lagi tinggi maruah dirinya yang akan menambah kepercayaan manusia kepadanya.Adakalanya terdapat juga kritik yang dilemparkan itu merupakan umpan para musuh. Apabila tidak dapat membendung emosi maka musuh cepat dapat mengenal kelemahan pemimpin tersebut.
Dalam taktik provokasi ini, biasanya Pemimpin sejati pembawa kebenaran bayangan Rasulullah SAW itu tidak emosi terutamanya apabila dikritik. Kritikan adalah sesuatu yang amat tidak disenangi oleh para pemimpin.Emosinya sangat tergugat, tersentuh dan tercabar apabila dikritik. Mudah saja melenting, melatah, marah-marah,mempertahankan dirinya dan sekaligus akan menyerang kembali saingannya, pengkritik atau musuhnya.Adakalanya dia kembali menyerang dengan membuta tuli tanpa usul periksa, tanpa menimbang dan menilai kebenaran sesuatu kritikan. Malah sampai diiringi pula dengan tindak balas menghukum pengkritik.
Alangkah tidak bermaruah apabila didapati bahawa pengkritik itu di pihak yang benar.Tentulah amat sukar untuk menebus kembali kesilapannya itu. Lantas kadang-kadang terpaksa bertindak lebih ganas untuk menutup segala kesilapannya. Ini akan mendatangkan akibat lebih buruk lagi dimana boleh menghakis kepercayaan lebih ramai manusia terhadapnya.
Seorang pemimpin kebenaran yang tidak emosi akan sentiasa membiarkan kritikan itu berlalu begitu saja. Sama ada dirinya di pihak yang benar atau sebaliknya, emosinya tetap terkawal. Ketenangan itu seringkali membuahkan kesan positif, terutamanya apabila terbukti bahawa dirinya di pihak yang benar. Kalaupun pengkritik tidak menyerah kalah, namun ketenangan itu akan dapat menutup mulutnya atau menjadikan pengkritik itu malu sendiri.
Andainya ada juga benarnya di pihak pengkritik, dengan cara tidak emosi itu dia mengambil langka mengkoreksi dirinya. Dengan cara itu bertambah lagi tinggi maruah dirinya yang akan menambah kepercayaan manusia kepadanya. Adakalanya terdapat juga kritik yang dilemparkan itu merupakan umpan para musuh. Apabila tidak dapat membendung emosi maka musuh cepat dapat mengenal kelemahan pemimpin tersebut. Dalam taktik provokasi ini, biasanya musuh sudah menyediakan berbagai perangkap lain. Ramai pemimpin gagal dalam berhadapan dengan kerenah manusia karena menghadapi mereka dengan penuh emosi.

4. Mendoakan penentang

Kebenaran (hak) itu datangnya dari Tuhan. Pemimpin khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan sifat wajib bagi rasul itu salah satu daripadanya ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.
Demikianlah juga cita-cita dan keazaman yang dimiliki oleh pemimpin kebenaran di sepanjang zaman. Pemimpin pilihan Tuhan, yang mereka itu dipimpin oleh Tuhan, hati mereka dicanai sama seperti hati para rasul. Mereka merasa berdosa andainya tidak menyampaikan kebenaran.
Halangan serta risiko tidak dihiraukannya. Bahkan mereka menganggap halangan dan risiko itu sebagai sunnatullah. Bagi pemimpin kebenaran, apa yang lebih dititikberatkan ialah bagaimana kebenaran itu mesti disampaikan dan disebarluaskan.
Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka bagi pemimpin kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang.
Pemimpin kebenaran tetap berpegang kepada prinsip bahawa manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu. Oleh itu mereka mahu musuhnya menjadi tahu dan faham sehingga menerima kebenaran.
Menundukkan musuh bukan untuk dirinya tetapi untuk Tuhan. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Tuhan. Pemimpin kebenaran yang bersifat penyelamat ini hanya mahu manusia seluruhnya selamat di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Tidak selamat di Akhirat amat dahsyat akibatnya iaitu Neraka. Neraka bukan pekara mainan kerana panasnya bukan macam api lilin.
Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan lahiriah untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya untuk penentang ialah agar dia menerima kebenaran dan semoga Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka sepanjang tempoh menjadi penentang itu. Begitulah mulianya hati dan begitulah besarnya jiwa yang Tuhan anugerahkan kepada pemimpin kebenaran. Inilah hati para rasul.

5. Kata-katanya penuh hikmah

Rasulullah SAW dianugerahkan oleh Tuhan keistimewaan atau kelebihan yang mana kata-katanya tepat, ayatnya ringkas dan padat, tetapi mempunyai maksud yang jelas dan mudah difahami. Inilah yang dimaksudkan dengan hikmah dalam berkata-kata. Begitulah juga yang Tuhan kurniakan kepada pemimpin kebenaran. Percakapan atau kata-kata yang datang dari hati ini yang merupakan ilham dari Tuhan, mengandung didikan dan pengajaran yang sangat tinggi. Bahasa dan susunan kata-katanya amat bermakna, mudah pula difahami dan bersifat mendidik manusia. Sehingga dengan itu cepat pula manusia mengenal dan menerima kebenaran. Lebih-lebih lagi apabila kata-kata itu datangnya dari hati. Maka dengan mudah pula Tuhan jatuhkan di hati manusia. Kata-kata yang datang dari hati itu turut disertai oleh rohnya yang terus bekerja memproses hati manusia.
Inilah di antara rahsia kejayaan para rasul dalam menyampaikan kebenaran, dan begitu jugalah yang Tuhan kurniakan kepada pemimpin kebenaran yang lain kerana Tuhan mahu kebenaran itu mudah diterima oleh manusia.

6. Mengingatkan kepada Tuhan dan menyedarkan kepada mati

Dalam ajaran Islam, perkara yang terpokok ialah yangterkandung dalam Rukun Iman. Manakala dari keseluruhan Rukun Iman itu, keimanan kepada Tuhanlah yang mengatasi segala-galanya. Maka dalam memperjuangkan Tuhan ini,Rasulullah SAW sendiri mengambil masa selama tiga belas tahun di Mekah. Manakala beliau mengambil masa hanya sepuluh tahun memperjuangkan syariat yang amat banyak itu di Madinah. Ini membawa maksud bahawa Tuhan mesti diperjuangkan terlebih dahulu. Apabila manusia merasai bertuhan, syariat Tuhan amat mudah diterima.
Pemimpin kebenaran, yang mana kebenaran itu tetap sama, tetap tidak berubah sepanjang zaman, maka itulah juga yang dilakukan iaitu mereka sangat mengajak manusia kepada Tuhan . Sangat mengajak manusia kepada mendapatkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Sangat mengajak manusia merasai keagungan dan kebesaran Tuhan. Mengingatkan manusia mengenai Tuhan adalah segala-galanya. Manusia perlu membawa Tuhan dalam segala urusan. Tuhanlah yang paling utama yang mesti diberi perhatian dibandingkan dengan urusan lain.
Pemimpin kebenaran juga sangat mementingkan kehidupan Akhirat. Dunia ini sementara saja dan semata-mata alat menuju Tuhan. Dunia adalah alat untuk mencapai maksud iaitu menuju Tuhan dan mendapat ganjaran Akhirat. Apa saja yang dilakukan semuanya membawa maksud yang sedemikian itu.
Bukan mudah untuk membawa hati manusia merasa takut kepada Tuhan dan sekaligus memandang besar akan kehidupan Akhirat. Dua perkara inilah yang sangat diberi penekanan oleh pemimpin kebenaran. Mereka tahu, manusia menjadi jahat kerana nafsu. Nafsu pula sifatnya tidak takut kepada apa dan siapa pun kecuali Tuhan. Apabila hati manusia tidak takut kepada Tuhan dan tidak mengutamakan Akhirat, maka nafsu bermaharajalela. Kejahatan di dunia hari ini adalah kerana manusia mengikut nafsu, lantaran hati tidak takutkepada Tuhan, kerana tiada lagi orang yang mengingatkan atau menyeru manusia kepada Tuhan.
Untuk mengembalikan kedamaian dan keselamatan di dunia maka pemimpin kebenaran sangat-sangat mengingatkan manusia terhadap Tuhan dan tempat kembali tanpa penghujung iaitu Akhirat.

7. Tutur kata dan bahasanya sangat dijaga

Kebaikan yang keluar melalui lidah memang banyak. Kejahatan lidah juga amat banyak. Sehingga Rasulullah SAW kaitkan dengan iman seperti keterangan Hadis yang bermaksud: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau diam.
Kebanyakan jenis kejahatan dari lidah itu pula adalah dalam bentuk yang membabitkan orang atau pihak lain.
Dosa sesama manusia ini bukan terhenti setakat sukarnya diterima taubat dan sukar mendapat pengampunan Tuhan, tetapi ianya juga sangat menjejaskan hubungan sesama manusia.Lidahlah yang menjadi penyebab kepada hilangnya kasih sayang, terjadinya krisis dan perpecahan, menjadi punca pecah hati dan permusuhan. Perkataan yang dihamburkan tanpa batasan, tanpa kawalan, tanpa tapisan, boleh meretakkan hati.
Apabila hati sudah terguris, kebenaran yang hendak disogok dirasakan hambar oleh para pendengar atau penerima.Disitulah kelebihan dan kejayaan seorang pemimpin kebenaran. Tuturkatanya bersukat, bahasanya terpilih dan sangat dijaga. Jauh sekali dari umpat keji, maki hamun, sumpah seranah,kata nista, memfitnah, menghasut, mengutuk, mengadu domba, berbohong, memperleceh dan menghina orang.

8. Tenang menerima ujian

Pemimpin kebenaran pilihan Tuhan sudah pastilah dirinyaseorang arifbillah. Sangat mengenal Tuhan dan sangat memahami dan merasai kerja Tuhan. Setiap benda, setiap kejadian, setiap peristiwa, seorang yang arifbillah terus mengaitkannya dengan Tuhan dan kerja Tuhan, menjadikannya amat sabar dan tenang dalam menghadapinya.
Selain dia dapat melihat dan merasakan bahawa itu adalah kehendak Tuhan yang para hamba tiada kuasa menolaknya, dia juga dapat melihat hikmah di sebalik berlakunya ujian tersebut, yang di antaranya ialah untuk menghapus dosa,meningkatkan darjat, menambah rasa kehambaan, mendekatkan diri dengan Tuhan, menajamkan dan menghidupkan akal dengan berfikir mencari jalan mengatasinya dan untuk menguatkan atau mengebalkan jiwa yang sentiasa terdedah kepada cabaran.

9. Tidak senang dengan pujian

Hati amat mudah berbunga apabila dipuji. Apabila menerima pujian, bunga hati yang paling mekar ialah ujub atau hairankan diri. Merasa takjub, kagum serta istimewanya diri kerana dikatakan mempunyai banyak kelebihan. Bagi seorang pemimpin sejati, pujian tidak merosakkannya. Hatinya merasakan pujian hanyalah untuk Tuhan semata-mata. Lantaran itu dia tidak senang dengan pujian kerana bimbang kalau-kalau hilang rasa kehambaan dari hatinya.
Berbeza dengan kebanyakan pemimpin dunia yang rosak kerana pujian dari para pengampu. Mereka lupa diri dan hilang rasa kehambaan. Akibatnya mereka menjadi tambah rakus dan zalim. Akhirnya menjadi buta dari melihat cacat cela dan kelemahan diri. Itu membuatkan dirinya tersungkur dan terhina lantaran terlalu banyak membuat kesilapan. Perkara yang silap itu pun masih lagi menerima pujian dari para pengampu yang sangat berkepentingan. Tuhan langsung dilupakan.

10. Tidak menjawab kejian

Di sisi pemimpin sejati, pujian dan kejian hakikatnya sama saja. Mereka tetap melihat kepada hikmah di sebalik kejian itu. Baginya, kalau ada benarnya sesuatu kejian, maka kejian itu dapat digunakan untuk mengoreksi diri, untuk melihat cacat cela, kelemahan dan kekurangan diri. Dengan cara itu dia dapat mempertingkatkan rasa kehambaan dan membaiki kelemahannya.
Lihatlah sikap Rasulullah SAW yang memaafkan penduduk Thaif yang menghinanya. Malah baginda mendoakan agar zuriat mereka akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.Untuk apa menjawab kejian orang yang tidak faham dan penuh hasad dengki? Jawapan adalah sia-sia sahaja selagi hasad dengkinya masih bersarang di hati. Kalau dijawab ertinya akan memperpanjangkan tempoh permusuhan dan melebarkan lagi jurang perhubungan.Terhadap golongan yang mengejinya, dia ucapkan selamatsejahtera.
Ertinya seolah-olah ia berkata kepada musuhnya: Aku tetap dengan keyakinan dan pendirian aku dan tidak akan memusuhi kamu. Terpulanglah kepada kamu, tapi apa yang kamu keji itu tidak akan menggugat pegangan aku, hanya aku harapkan kamu menerima kebenaran.

11. Marahnya dalam batas syariat

Diantara sifat yang amat payah dikawal ialah pemarah, terutamanya oleh pemimpin. Pemimpinlah yang mudah meluahkan perasaan marah. Kadang-kadang tidak terbendung hingga mencemarkan maruah dan wibawa diri.
Terjadinya sifat pemarah kepada pemimpin kerana dia berkuasa atau mahu menonjolkan kuasanya. Dibolehkan marah, bahkan Tuhan merestuinya selagi dalam batas syariat, terutamanya marah dalam menjaga kesucian agama dan maruah diri serta keluarga.
Inilah namanya marah pada tempat yang tepat, atau marah di atas kebenaran. Begitupun dibolehkan, namun ia mesti pula di atas landasan syariat serta batas-batas adab dan tata susila. Marah tetap marah, tetapi sikapnya tetap lemah lembut, berkasih sayang serta tutur katanya menunjuk ajar dan mendidik.
Orang yang kena marah itu dia tahu yang dirinya dimarahi namun hatinya tidak terguris. Hatinya tetap merasakan bahawa marah itu adalah marah mendidik. Berjayalah seorang pemimpin yang dapat mengawal hatinya dari marah nafsu dan syaitan. Dengan cara itu, dirinya terhindar dari jatuh kepada dosa, manakala manusia lain mendapat didikan.
Marahnya kerana sayang, bukan kerana benci. Sehingga golongan yang dimarahi itu lebih cepat insaf dan sedar dan segera bertaubat, membuat perubahan dan segera kembali kepada kebenaran.

12. Selalu memberi maaf

Selain sifat menahan marah, pemaaf juga termasuk sifat yang amat sukar diamalkan oleh pemimpin atau orang yang berkuasa. Cuba bayangkan betapa rasa bertuah dan terhutang budinya seorang yang sabit kesalahan dan bakal menerima hukuman, tiba-tiba mendapat kemaafan.
Tentulah dia akan merasakan ianya sesuatu yang tidak ternilai dengan harta benda dan wang ringgit. Lebih-lebih lagi dirasakan amat tidak ternilai kemaafan apabila kemaafan itu datangnya dari pemimpin. Kerana pada persepsi umum, seorang pemimpin sanggup menghukum mereka yang tidak bersalah. Betapalah kepada orang yang bersalah. Tentulah dianggap amat aneh apabila ada pemimpin yang sanggup memaafkan orang yang memang bersalah.
Senjata ini sebenarnya amat berkesan untuk menukar sikap manusia daripada jahat kepada baik. Sifat pemaaf seorang pemimpin membuatkan manusia tertambat hati dan mudah menerima pimpinannya. Pemaafnya seorang pemimpin itu menghilangkan tekanan perasaan manusia.
Dalam satu-satu masyarakat yang terlalu banyak berlaku hukuman, itu tandanya didikan kurang berlaku. Hukuman pula menjadikan perasaan manusia tertekan. Timbullah rasa benci dan meluat, dendam kesumat dan terguris hati. Apabila ini berlaku, kebenaran yang dibawa oleh pemimpin itu turut ditolak, kesetiaan juga semakin luntur.
Manusia akan lebih cepat merasai bertuhan apabila mendapat kemaafan dari seorang pemimpin. Fitrahnya dapat merasa bahagia apabila terbongkar rasa bahawa Tuhan itu bersifat pemaaf. Sebab itulah pemimpin umat Islam sangat dituntut memiliki sifat pemaaf, kerana seorang pemimpin Islam itu dia adalah wakil atau khalifah atau pengganti Tuhan untuk urusan manusia. Sifat pemimpin yang mewakili Tuhan itu mestilah selari dan selaras dengan sifat Tuhan. Dengan cara itu manusia lebih mudah merasai betapa pemaafnya Tuhan yang Maha Pemaaf itu.

13. Sedikit gurauan dan tidak bercakap lucah

Ada keterangan di dalam kitab berdasarkan Hadis bahawa banyak gurau senda diiringi pula dengan ketawa akan menghilangkan seri wajah dan menjatuhkan wibawa. Gurauan yang berlebihan diselitkan pula dengan sindiran akan membawa kepada renggangnya persahabatan.
Terdapat juga dalam kitab tasawuf yang mengatakan bahawa gurauan dan ketawa berlebihan itu mendatangkan kesat hati dan menghilangkan kekhusyukan. Puncanya ialah hati amat lalai dari Tuhan dan hilang takut kepada Akhirat. Rasulullah SAW juga bergurau dan berjenaka, tetapi masih dalam berkata benar. Sesuatu yang lucu disambut oleh Rasulullah SAW dengan senyuman lebar hingga boleh dilihat gigi gerahamnya, tetapi tidak sampai ketawa berdekah.
Itupun seringkali Rasulullah SAW menutup mulutnya dengan tangan. Rasulullah juga tidak bercakap lucah walaupun dengan perkataan double meaning. Lucah atau mencarut adalah dosa. Lucah juga adalah sesuatu yang bersifat aib atau malu. Rasulullah SAW sangat pemalu. Sifat malu pula adalah sebahagian dari iman, bahkan kedudukannya adalah sebagai benteng iman.
Sikap inilah yang dibawa oleh pemimpin kebenaran sebagai gambaran bahawa akhlaknya adalah salinan kepada akhlak Rasulullah SAW.

14. Mendengar pandangan

Tidak ada manusia yang sempurna. Begitulah sifat manusia yang Tuhan jadikan. Agar dengan itu manusia benar-benar merasakan tidak sempurna, merasa lemah, dhaif dan serba kekurangan. Memang Tuhan menyukai manusia mengekalkan rasa serba kekurangan dan rasa kehambaan. Seorang hamba wajib merasakan dirinya hamba.
Setiap manusia, Tuhan kurniakan kelebihan di sudut tertentu, lemah pula di sudut yang lain. Tuhan berikan keupayaan di bidang tertentu tetapi tidak mampu di bidang yang lain pula. Tuhan beri ilmu, cerdik dan bijak dalam hal tertentu, bodoh dan jahil pula dalam banyak perkara lain.
Hikmah di sebalik Tuhan jadikan begitu ialah agar manusia dapat melihat dan merasakan bahawa Tuhan sahaja Zat yang Maha Sempurna. Hikmahnya juga selain dari itu ialah agar manusia berusaha menjalin hubungan dengan sebaik mungkin diantara satu sama lain, bekerjasama, bantu membantu dan kuat menguatkan, yang mampu membantu yang tidak mampu, yang kuat membantu yang lemah dan yang pandai membantu yang jahil untuk menjadikan kehidupan manusia lebih baik dan selesa.
Seorang pemimpin sentiasa memberi ruang kepada pengikutnya memberi pendapat, pandangan, idea dan cadangan. Bahkan sentiasa mengalu-alukan sumbangan buah fikiran tersebut yang disifatkan sebagai cadangan, dan dikemukakan dalam suasana kekeluargaan, persahabatan dan kemesraan. Perkongsian idea itu sentiasa dalam menjaga batas adab sopan dan tata susila.
Contohnya, Rasulullah SAW menerima pendapat Salman Al-Farisi dalam membina khandak (parit). Rasulullah SAW mengembalikan teknik kepada tuan punya kebun tamar dan banyak lagi peristiwa seumpama ini. Apa yang penting ialah yang empunya diri tidak merasakan dirinya orang istimewa atau merasakan dirinya lebih bijak berbanding pemimpin yang mendengar dan menerima pendapatnya.
Sayidina Umar Ibn Khattab adalah sahabat yang paling kerap diterima pandangannya oleh Rasulullah SAW. Namun hatinya tidak cacat dengan meletakkan dirinya lebih baik dan lebih pintar. Dalam pada itu Sayidina Umar tidak kecil hati apabila pandangannya ditolak. Tuhan kurniakan kepada para pemimpin itu beberapa kelebihan berbanding orang lain.
Bergabung pada diri seorang pemimpin itu tiga kekuatan sekaligus iaitu kekuatan akal, perasaan dan jiwa. Gabungan tiga kekuatan itulah yang melayakkan dirinya menjadi pemimpin. Namun begitu, tidak pula boleh selama-lamanya mempertahankan pendapatnya dan hanya pendapatnya saja yang mesti diterima terutamanya dalam perkara harus dan teknikal.
Ramai para diktator jatuh terhina dan tersungkur di hadapan rakyatnya sendiri kerana terlalu keras memaksa rakyatnya menerima apa saja keputusannya dalam keadaan keputusannya itu banyak yang silap.

15. Peka dengan kehidupan rakyatnya

Pemimpin yang sejati itu sangat peka terhadap situasi rakyatnya.Susah, senang, derita gembira, suka duka rakyat sangat dirasai. Terhadap sesuatu kegembiraan rakyat maka dia turut lahirkan kegembiraan dan bersyukur. Maka berlakulah suasana gembira di atas kegembiraan dan syukur di atas kesyukuran Terhadap kesusahan, kesedihan dan penderitaan rakyat dia juga sangat memberi simpati dan turut membelanya. Kesedihan rakyat adalah kesedihan hatinya juga.
Dalam menghadapi musibah, ujian dan kegagalan rakyat, dia meletakkan dirinya sebagai sebahagian daripada mereka. Kesusahan hidup rakyat dianggap sebagai dosa dirinya. Sikap begini sukar untuk dimiliki kecuali atas kurniaan Tuhan.Di zaman ini mana hendak dicari pemimpin yang peka terhadap rakyatnya terutama tentang penderitaan dan kesusahan rakyatnya.
Yang ramai adalah pemimpin yang menindas dan melakukan diskriminasi serta eksploitasi. Mereka hanya mengambil kepentingan daripada rakyat tetapi tidak membela rakyat. Kalaupun sedikit sebanyak mereka memenuhi keperluan material rakyat, namun mereka melupakan soal-soal maknawiyah dan rohaniah.
Ertinya tetap juga tidak sampai mengisi kebahagiaan di hati rakyat. Rakyat sendiri hilang kasih sayang, hilang sifat bertolong bantu, pemurah dan pemaaf. Hidup nafsi-nafsi. Akhirnya rakyat tetap juga dilanda oleh seribu satu macam masalah.

16. Sangat sabar dengan kerenah manusia

Pemimpin mesti memahami dan menerima hakikat bahawa manusia dengan masalah tidak ada noktahnya kecuali mati. Kalau begitu, seorang yang hendak menjadi pemimpin mesti memiliki kesabaran yang luar biasa.
Oleh kerana banyaknya perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pemimpin maka sifat sabarlah yang dapat menahan pemimpin daripada melakukan perkara yang dilarang itu.
Di antara perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pemimpin ialah:
a. Tidak boleh mudah tercabar dengan sebarang kerenah masyarakat
Segala kerenah masyarakat, pemimpinlah yang kena selesaikan. Memang Tuhan jadikan keupayaan masyarakat agak kurang. Kurang upayanya masyarakat itu Tuhan tampung melalui berbagai kelebihan yang ada pada pemimpin.
b. Tidak boleh mudah tarik muka
Maksud tarik muka ialah terlalu cepat memberi reaksi terhadap sesuatu masalah melalui perubahan pada wajah atau air muka. Ertinya bila ada masalah, atau ada sesuatu yang mencabar, atau apabila terpaksa menghadapi ragam manusia, maka berubah wajahnya menjadi masam mencuka, berkerut, merah atau bengis. Wajah-wajah begini akan menakutkan atau mengecewakan masyarakat.
c. Tidak mudah merajuk
Pemimpin adalah penaung kepada manusia. Penaung kepada manusia hendaklah merasai kemanisan dan kepahitan yang datangnya dari manusia. Janganlah hanya bersedia menerima sesuatu yang sesuai dengan selera saja atau yang mendatangkan keselesaan semata-mata. Selain dari itu dia tarik diri atau merajuk. Apabila pemimpin merajuk, bertambah kusut dan rosaklah masyarakat. Kepahitan mesti ditelan oleh pemimpin yang mesti sanggup mengorbankan perasaannya demi kebaikan manusia.
d. Tidak boleh membenci pencabar
Pemimpin mesti boleh berlapang dada dalam hal-hal perbezaan pendapat terutamanya dalam perkara harus danteknikal. Adakalanya perbezaan pendapat itu menjadi satu bentuk cabaran dari pihak lain. Andainya tidak mahu menerima pendapat yang berbeza itu namun pemimpin tidak boleh sampai membenci atau memusuhi pencabar.
Rasa tidak senang terhadap orang yang mencabar itu adalah tanda tidak sabarnya seorang pemimpin. Ini boleh memutuskan hubungan antara diri pemimpin dengan masyarakat. Putus hubungan akan menggagalkan usaha-usaha mendidik masyarakat. Apabila pemimpin tidak sabar terhadap manusia, maka siapalah lagi yang akan membetul, mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat.
Sedikit saja tidak sabarnya Nabi Yunus, Tuhan telah menegurnya hingga dia ditelan oleh ikan Nun. Kerana kesan dari tidak sabar dan merajuk itu manusia akan bertambah terbiar. Begitu besar dan beratnya tugas pemimpin. Ia memerlukan pengorbanan masa, tenaga, kesihatan, kerehatan, kepentingan,keselesaan dan kesenangan. Keadaan itu semua hanya dapat dilakukan dengan memiliki sifat sabar iaitu sabar yang benar-benar disandarkan kepada Tuhan. Sabar yang benar-benar datang dari lubuk hati yang amat yakin akan kedatangan Akhirat.

17. Adil pakaiannya

Keadilan adalah sesuatu yang paling banyak dituntut oleh manusia. Oleh kerana keadilan itu banyak dituntut untuk diri sendiri maka ketidakadilan itu pula paling banyak dituding kepada orang atau pihak lain walaupun yang menuntut itu pun banyak tidak adilnya.
Berlaku ini semua adalah berpunca kerana rata-rata manusia tidak memahami erti keadilan yang sebenar. Dalam waktu yang sama masing-masing mentakrifkan keadilan itu menurut pengertian mereka sendiri dan untuk kepentingan diri atau kelompok sendiri.
Contoh paling mudah berhubung perbezaan erti keadilan ini ialah antara fahaman demokrasi dan komunis. Apa yang adil bagi demokrasi tidak adil bagi komunis. Begitu juga sebaliknya. Ini belum lagi diambil kira tentang perbezaan erti keadilan menurut individu atau sesuatu kelompok. Antara kerajaan dan rakyat pun sering berlaku pertikaian mengenai keadilan.
Dalam ajaran Islam, keadilan itu ertinya meletakkan sesuatu itu tepat pada tempatnya. Apabila diperincikan rangkaikata tersebut maka huraiannya amat luas. Ianya bermula dengan meletakkan hati dan roh itu tepat pada tempatnya yakni sangat kenal Tuhan, mahu kepada Tuhan, sangat perlukan rasa bertuhan. Inilah keadilan yang paling pokok dan utama. Apabila hati atau roh tidak dibawa kepada rasa bertuhan maka kezaliman yang paling besar telah berlaku.
Seorang pemimpin yang zalim ialah apabila dirinya tidak merasai bertuhan, tidak membawa rakyatnya kepada Tuhan,lebih-lebih lagilah apabila menolak atau menghalang rakyat daripada mengenali Tuhan.Selain itu pemimpin yang adil ialah apabila mengamalkan syariat Tuhan dalam apa aspek sekalipun. Dan syariat itu pula dibawa kepada keluarga, masyarakat, negara dan umat. Barulah diiringi pula dengan keadilan dalam menentukan bidang-bidang manusia mengikut kemahiran dan kemampuan masing-masing dan pembahagian harta benda menurut keperluan.
Keadilan dalam soal hukum-hakam, penghakiman, perundangan dan yang berkaitan dengannya adalah sesuatu yang amat jarang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam.Keadilan dalam apa jua bentuk penghakiman dan hukuman terutama dalam hukuman hudud sangat berkait rapat dengan soal iman dan taqwa. Bagi orang beriman dan bertaqwa andainya disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mengikut hukum hudud, maka dia menganggapnya adil dan menerimanya dengan rela.
Tanpa iman dan taqwa maka segala hukum hudud dianggap zalim. Oleh itu, hudud itu hanya boleh berlaku setelah manusia terlebih dahulu adil kepada dirinya iaitu dia beriman dan bertaqwa. Dengan iman dan taqwa, ia menjadi benteng terhadap kejahatan dan kemungkaran. Dalam masyarakat yang beriman dan bertaqwa, kejahatan sangat minimum. Kejahatan yang minimum itu pula, hanya dimana ianya menggugat ketenteraman masyarakat sahaja barulah hudud itu dilaksanakan menurut jenis dan kategori kejahatan.
Oleh itu seorang pemimpin yang adil tidak boleh dilihat sekadar adil dalam mengagih harta benda sama banyak dan terhenti setakat betul dalam perlaksanaan hudud. Tidak ada indahnya andai berlaku keadilan hanya dalam dua tiga aspek ini sahaja. Sebab itu keadilah itu dianggap sifat yang sangat hampir kepada taqwa, kerana amat payah untuk berlaku adil secara keseluruhan bermula dengan adil kepada Tuhan, bersyariat dan berakhlak dalam segala aspek.
Inilah pakaian para rasul, khalifah Ar Rasyidin dan pemimpin pilihan Tuhan. Hati mereka dipimpin oleh Tuhan sehingga sekecil-kecil perkara diletakkan tepat pada tempatnya. Betapalah perkara yang utama iaitu meletakkan hati tepat terhadap Tuhannya. Keadilan disudut inilah yang boleh membawa pemimpin kepada keadilan lainnya.

18. Pemurah tradisinya

Pemimpin yang kedekut orang akan benci. Sebabnya mudah saja, kerana fitrah manusia membenci sifat kedekut. Orang yang kedekut sekalipun, amat suka kepada orang yang pemurah dan amat menyenangi kalau orang lain pemurah kepadanya. Dalam konteks menyebarkan kebenaran, menambat hati manusia amat penting. Bagaimana kebenaran hendak disampaikan kalau mausia menolak pemimpin dan menjauhkan diri mereka lantaran pemimpin itu kedekut. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Pemurah itu hampir dengan Allah, hampir dengan manusia, hampir dengan Syurga dan jauh dari Neraka.Manakala kedekut pula jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari Syurga dan dekat dengan Neraka. Mengapa orang yang pemurah itu dekat dengan Allah SWT? Kerana dia memakai salah satu daripada sifat Tuhaniaitu pemurah. Tuhan menyukai hambanya yang memakai sifat-sifatnya kecuali sifat sombong atau kibir. Pemurahnya seorang pemimpin pula dapat menjadi contoh kepada manusialain. Dalam masyarakat yang rata-rata pemurah, sudah tentu berlaku saling bela-membela. Maka kasih sayang akan semakin subur dan kukuh pula perpaduan. Di sinilah pentingnya sifat pemurah para pemimpin yang natijahnnya hingga dapat mengukuhkan perpaduan.

19. Cita-cita dan kemahuannya tinggi dan keras

Pemimpin pilihan Tuhan ini, Tuhan cukupkan segala keperluan terutamanya ciri-ciri dan syarat-syarat kepimpinan.Salah satu daripadanya ialah mempunyai cita-cita yang tinggi dan kemahuan yang keras. Tanpa cita-cita tinggi dan kemahuan yang keras, seseorang pemimpin itu akan gagal melaksanakan kerja-kerja Tuhan. Sebab bukan mudah untuk membawa manusia kembali kepada Tuhan dan hidup bersyariat. Terlalu banyak halangan dan rintangannya, terutamanya dari nafsu manusia itu sendiri. Sejarah telah memperlihatkan betapa sukarnya para rasul berhadapan dengan kaumnya. Sedikit sangat yang menerima seruan para rasul. Sebaliknya majoriti menjadi penentang.Penentangan pula hingga sampai ke tahap membunuh seperti yang berlaku kepada Nabi Zakaria, atau dihumban ke dalam api seperti Nabi Ibrahim.Begitu besar ancaman kepada pemimpin kebenaran. Kalaulah mereka tidak punyai cita-cita yang tinggi dan kemahuan yang keras, nescaya akan mudah mundur, kecewa dan putus asa. Kerana tidak mundur, tidak kecewa dan tidak putus asa maka mereka tetap meneruskan perjuangan dengan seribu satu macam cara, strategi dan teknik. Apa yang utama bagi mereka ialah manusia mesti dibawa kepada Tuhan.Keyakinan dan cinta kepada Tuhan dan hari Akhirat menjadikan mereka tidak tergugat dengan kesusahan mahupundengan kelazatan dunia. Semua itu tidak menjejaskan cita-cita tinggi dan kemahuan keras mereka untuk membawa manusia kepada Tuhan.

20. Tidak mengugut sesiapa

Pemimpin yang berjaya dalam kepimpinannya ialah yang punya wibawa atau karisma luar biasa. Kewibawaannya itu sudah cukup menjadi satu kuasa magnet (besi berani) untuk menawan hati rakyat. Dengan taqwa yang dimilikinya manusia menjadi kecut hati untuk berbuat kesalahan secara terang-terangan. Tanpa ugutan pun mereka yang bersalah, hati kecilnya sendiri pun merasai dirinya bersalah dan hatinya sendiri yang mendorong untuk insaf dan membuat perubahan.
Sebaliknya jika seseorang pemimpin itu sangat suka mengugut dan mengancam pengikut atau rakyatnya, ini menunjukkan dirinya tidak berwibawa. Dia sendiri merasakan sudah hilang sokongan, sudah hilang populariti, sudah hilang kesetiaan dan rakyat sudah tidak mempercayainya lagi. Maka terpaksalah dia mengugut-ugut rakyat.
Bukanlah sesuatu yang aneh atau luar biasa kalau terdapat juga ketidakpuasaan hati rakyat yang tidak dapat dielak bilamana pemimpin dan pengikut mempunyai selera yang berbeza.
Tetapi amat aneh dan luar biasa apabila seorang pemimpin memusuhi rakyatnya. Siapa lagi yang akan berperanan menyatupadukan rakyat dan menjadi pendamai dalam masyarakat?
Pemimpin yang memusuhi rakyat ertinya dialah yang menjadi punca kepada perpecahan dan krisis. Tentulah tidak dapat dielak berlaku adanya kelompok yang kekal setia, kelompok yang menentang dan kelompok yang terpingapinga tidak tahu hendak memihak kepada siapa dan akan ada pula kelompok yang terus terkecuali. Empat kelompok seumpama ini hanya akan terjadi apabila pemimpin memusuhi rakyat.
Dari sinilah sering terjadi pemimpin itu akan mengugut dan mengancam pengikut atau rakyatnya dalam berbagai bentuk. Namun ugutan itu bukan menjadikan rakyat berputar kembali menerimanya bahkan bertambah sakit hati dan membencinya. Kalau sampai bertindak menghukum rakyat dengan bermacam-macam cara maka akan terjadi reaksi ganas dari pihak rakyat yang boleh mencetuskan suasana yang lebih parah lagi.
Mudah bagi seorang pemimpin untuk membuat ugutan dan ancaman kerana selain mem punyai kuasa, pemimpin juga mempunyai berbagai jentera yang boleh berbuat apa saja. Melalui ugutan itu rakyat mungkin takut lantas mendiamkan diri. Tetapi apakah dengan cara itu akan menyelesaikan masalah?Jawabnya tentulah tidak akan menyelesaikan masalah melainkan rakyat akan memendam rasa dan menyimpan dendam kesumat yang berpanjangan.
Hanya di bawah seorang pemimpin yang berwibawa, hati rakyatnya dapat disatukan dan akan terjalin kasih sayang.Lihatlah sejarah Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz. Di zaman pemerintahanya bukan saja Tuhan jadikan manusia bersatu hati dan berkasih sayang, kambing dan serigala pun tidak bermusuh bahkan boleh bermain bersama. Kalau manusia boleh juga berpura-pura berdamai dan bersatu kerana diugut atau dirasuahkan.
Tetapi bagaimana hendak mendamaikan serigala dengan kambing, yang kambing itu adalah makanannya.Inilah kedamaian yang hakiki.Setelah rakyat berjaya disatukan dan berkasih sayang,hidup aman damai, ugutan boleh ditujukan kepada kelompok yang menentang dan yang masih terlalu degil, keras hati atau keras kepala.
Kepada kelompok pengacau seumpama ini boleh dihantar mesej ancaman kerana mereka boleh menggugat ketenteraman majoriti yang aman damai. Andainya mereka benar-benar tidak insaf dan tidak mahu berubah barulah tindakan boleh diambil ke atas mereka. Itupun masih dalam batas syariat dan adab sopan yang tidak sampai mengguris hati atau tidak akan bertambah suburnya mazmumah mereka.
Pendek kata ancaman dan ugutan itu hanya jalan keluar dan usaha lahir setelah segala ikhtiar lain telah dilaksanakan.Ertinya ugutan dan ancaman bukan senjata utama dalam memperelokkan perangai, akhlak, tabiat dan tingkah laku rakyat.Apabila seorang pemimpin itu hatinya sangat tunduk,patuh dan hancur lebur kepada Tuhannya, Tuhan jadikan hati rakyatnya tunduk, patuh dan setia kepada kepimpinannya atas dasar kerana dia sendiri patuh kepada perintah Tuhan.
Apabila hati pemimpin itu lari dan liar dari Tuhan, makaTuhan jadikan hati rakyatnya turut liar dan ingkar dari kepimpinannya. Bagi seorang pemimpin kebenaran, apabila berlaku keingkaran rakyatnya, dia akan kembali membaiki dirinya dan menambahelokkan hubungan hatinya dengan Tuhan.Selain daripada dua puluh ciri kepimpinan bagi pemimpin yang berjaya yang juga merupakan gambaran betapa beratnya dan besarnya tanggungjawab pemimpin yang telah dihuraikan di atas, berikut adalah senarai tambahan bagi ciriciri kepimpinan yang diturunkan tanpa huraian.

21. Tidak kecewa dan putus asa

22. Musuhnya sangat benci biarpun hati mereka mengakui kebenaran yang dibawanya.

23. Sangat mencorak masyarakat dan bukan masyarakat yang mencoraknya kerana dia mempunyai prinsip yang teguh.Prinsip hidupnya adalah syariat Tuhan yang amat sempurna yang tidak berubah sepanjang zaman.

24. Percakapannya atas dasar ilmu yang termasuk dari sumber ilham dalam memahamkan sesuatu ajaran Islam.

25. Tidak menjawab tuduhan. Atau kalau perlu menjawab tuduhan sekadar menjelaskan sesuatu kekeliruan atau untuk tujuan menghilangkan fitnah.

26. Tidak mendabik dada atas kejayaan, untuk menghindari syirik khafi kerana menafikan Tuhan dan merasakan dirinya yang berbuat dan yang menempah kejayaan.

27. Tidak sombong dan menjauhi diri dari mengungkit jasajasanya.

Tidak ada seorang pun manusia boleh membuat semua perkara melainkan sentiasa ada pihak lain yang turut menyumbang kepada kejayaan sesuatu idea sama ada mereka itu buruh, petani, nelayan, pemandu, tukang masak dan pembancuh kopi. Kalau begitu tidak timbullah jasa itu diungkit seolah-olah dirinya sahajalah yang berbuat.

28. Merendah diri atau tawadhuk.

29. Bercakap bila perlu, dan banyak diamnya.

30. Tiada kerja yang sia-sia.

Disiplin hidupnya sangat ketara, sehingga tiada masa terbuang begitu saja.

31. Dirinya menjadi contoh atau model terutamanya dalam aspek berikut:

  • Ilmu pengetahuan
  • Ibadah
  • Akhlak
  • Rumahtangga
Cakapnya adalah terjemahan kepada apa yang dibuatnya.Manusia mudah faham dan mudah meniru kerana cakapnya beserta dengan contoh atau model. Dia tidak sekadar bersifat menyuruh orang lain berbuat. Dia yang berbuat terlebih dahulu.
04 Masalah Itu Bukan Masalah
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:56
Dalam hidup, setiap manusia pasti akan berhadapan dengan ujian atau masalah. Bezanya hanya banyak atau sedikit, berat atau ringan. Itulah sifat dunia. Ini jelas seperti yang disebut dalam sebuah hadis:
"Dunia itu negara bala dan ujian."
Ramai orang menganggap ujian itu masalah dan masalah itu adalah masalah.Mereka tidak suka dengan masalah.Mereka rasa tertekan dengan ujian dan masalah. Mereka hilang bahagia dan hilang ketenangan. Mereka rasa resah dan gelisah. Bila ditimpa masalah, ia terasa besar, berat dan sangat menyakitkan. Ia menghantui fikiran dan perasaan mereka. Hilang selera makan, tidak boleh tidur dan kadang-kadang boleh jatuh sakit.
Manusia takut dengan ujian dan masalah. Manusia takut dengan kemiskinan, sakit, kemunduran dan berbagai-bagai lagi bentuk masalah yang menimpa mereka seperti rugi dalam perniagaan, tidak naik pangkat, kematian orang yang disayangi dan sebagainya. Bagi Tuhan, ini semua bukan masalah.Miskin bukan masalah kerana miskin tidak berdosa. Jatuh sakit bukan masalah kerana ia tidak berdosa. Mundur bukan masalah
kerana mundur tidak berdosa. Tidak naik pangkat,hilang jawatan, rugi dalam perniagaan, kematian orang yangdisayangi dan sebagainya juga bukan masalah. Kerana semua ini tidak berdosa. Orang tidak masuk ke neraka kerana perkara-perkara seperti ini. Tetapi manusia menganggap perkara-perkara seperti ini sebagai masalah.Perkara yang sebenarnya masalah, manusia tidak pula anggap sebagai masalah. Masalah manusia yang paling besar ialah tidak kenal dan tidak takut Tuhan. Kalau tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah pun akan menjadi masalah. Lebih-lebih lagilah kalau perkara itu memang masalah.Manusia sudah tidak pandai menilai masalah. Perkara yang remeh dan kecil dianggap masalah tetapi perkara besar yang sebenarnya satu masalah langsung tidak dipedulikan.
Contohnya, miskin bukan satu masalah. Tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, dia tidak akan sabar dengan kemiskinan.Oleh itu, untuk mengatasinya, dia akan mencuri, merompak,menyamun, pecah rumah dan mungkin juga akan membunuh. Ini sudah menjadi masalah. Dia telah membuat dosa dan kemungkaran. Dosa adalah satu masalah. Hukumannya neraka.
Kaya bukan satu masalah tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, kekayaannya akan membuatkannya menjadi sombong,hidup nafsu-nafsi, suka berpoya-poya, membazir, boros, bakhil dan sebagainya. Ini sudah menjadi masalah. Semua itu adalah berdosa dan hukumannya adalah neraka.Pandai dan berilmu bukan satu masalah. Ia perkara yang
baik. Tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, ilmu dan kepandaiannya akan membuatkannya menjadi sombong, tidak mahu bergaul dengan orang, hidup suka menyendiri dan akan digunakan ilmunya itu untuk mengejar pangkat dan jawatan dan untuk mengumpul harta kekayaan. Hatta, kalau ilmu agama sekalipun akan dijualnya untuk mendapat dunia. Ini adalah masalah.
Jawatan dan menjadi pemimpin bukan satu masalah.Memang pemimpin itu perlu. Tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, jawatannya sebagai pemimpin akan membuatkannya menjadi sombong, zalim, suka menindas dan mementingkan diri sendiri. Ini adalah masalah.Kalau manusia tidak takut Tuhan, yang positif akan menjadi negatif dan yang negatif akan menjadi lebih negatif.Yang baik akan menjadi buruk dan yang buruk akan menjadilebih buruk.
Hidup di dunia sampai bila pun tidak akan sunyi dari masalah. Oleh itu, kalau masalah dianggap sebagai masalah maka hidup di dunia tidak akan putus-putus dengan kesusahan dan penderitaan. Dunia akan dirasakan seperti neraka.Ini tidak benar. Dunia adalah dunia. Dunia bukan neraka.Tujuan Tuhan mendatangkan ujian dan masalah kepada manusia di dunia bukan untuk menjadikan hidup manusia tersiksa, sengsara dan menderita. Bukan untuk menjadikan dunia ini seperti neraka. Maha suci Tuhan dari perkara itu.
Oleh itu, kita kena belajar dan faham apa itu ujian dan masalah dan kenapa Tuhan datangkan ujian dan masalah kepada kita. Nanti, kalau kita sudah faham, kita akan terasa bahawa di dalam ujian dan masalah yang menimpa kita itu terkandung berbagai hikmah dan kasih sayang Tuhan. Kita akan sedar bahawa tanpa ujian dan masalah, manusia akan tersangat rugi.
Apa yang harus kita faham, neraka itu dikelilingi oleh berbagai perkara yang menyeronok dan mengasyikkan. Sebaliknya,syurga itu pula dikelilingi oleh berbagai perkara yang menyakitkan dan menyusahkan. Oleh itu, kalau kita ditimpa ujian dan masalah, kita sebenarnya sedang dalam perjalanan menghala ke syurga. Itu hala tujuan yang benar dan baik.Hanya kita perlu sabar dan redha dengan ujian tersebut. Kalau kita mampu bersabar, maka ujian itu akan bertukar menjadi satu rahmat. Kita akan dapat pahala dan pengampunan dari Tuhan.Sebaliknya, kalau kita berada dalam keadaan bersuka-ria, seronok, asyik-masyuk dan dibuai-buai oleh nikmat dan kesenangan, kita sebenarnya sedang berada dalam perjalanan menghala ke neraka. Semua perkara ini boleh melalaikan kita dan membuatkan kita lupa kepada Tuhan.
Maka, apalah salahnya kita diuji dan ditimpakan masalah.Masalah dan ujian, kalau kita dapat bersabar menghadapinya,Tuhan akan ampunkan dosa kita atau akan mengangkat darjat kita di syurga. Bukankah ini satu perkara yang baik seolah-olah ianya satu hadiah dari Tuhan.Di samping itu, masalah dan ujian yang datang dapat mematangkan roh dan menguatkan jiwa kita. Kita terdidikdengan masalah dan ujian. Sebenarnya masalah dan ujianadalah cara Tuhan mendidik agar hati, roh dan jiwa kita terbina dan terbangun.
Masalah dan ujian mendorong kita kembali kepada Tuhan.Ia menyedarkan dan menginsafkan kita. Ia dapat membantu kita kembali kepada rasa berTuhan, mengadu, bergantung harap, merintih dan meminta tolong kepada Tuhan. Ujian dan masalah boleh menyuburkan sifat-sifat hamba kita.Masalah dan ujian meningkatkan iman. Malahan ia adalah syarat untuk mendapatkan iman. Oleh itu, kalau kita benci atau tidak suka diuji dan kita tidak senang dengan masalah,takut-takut kita tidak termasuk golongan orang yang Tuhan akan campakkan iman ke dalam hati-hati mereka. Ini kerana Allah SWT ada berfirman:
Maksudnya: "Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan `Kami telah beriman,` sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan dia mengetahui orang yang dusta." (Al-Ankabut: 2-3)
Yang sangat benci kepada ujian dan masalah itu ialah nafsu kita. Di antara sebabnya Tuhan datangkan ujian dan masalah dalam hidup kita ialah untuk menekan dan mengekang nafsu agar ia tidak terlalu rakus dan buas. Nafsu terdidik dengan ujian dan masalah. Kalaulah Tuhan tidak datangkan ujian dan masalah, nafsu kita akan menjadi subur. Ia kemudian berbunga dan akhirnya berbuah.Buah nafsu ialah sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati yang merosakkan kebahagiaan dan hidup manusia.Buah nafsu ialah sombong, angkuh, tinggi diri, hasad dengki,bakhil, pemarah, panas baran, gila dunia, gila puji dan berbagai-bagai lagi.
Maka jelaslah bahawa ujian dan masalah itu adalah satu rahmat dan kasih sayang dari Tuhan. Ia membantu kita mengawal, melemahkan dan mendidik nafsu yang sangat memusuhi kita. Justeru itu, kalau kita terlalu benci, terlalu tertekan dan terlalu sakit dengan ujian dan masalah, ketahuilah bahawa nafsu kita sedang menguasai kita dan kita tergolong dari orang yang sangat dipengaruhi oleh nafsu. Besar kemungkinan nafsu kita masih di peringkat amarah iaitu nafsu yang sangat mengajak kepada kejahatan. Allah SWT ada berfirman:
Maksudnya: "Sesungguhnya nafsu amarah itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Yusuf: 53)
Bagi orang yang nafsunya telah terdidik, fitrahnya bersih dan sangat berperanan. Fitrahnya sangat ingin menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Fitrahnya sangat suka bersusah-payah kerana Tuhan. Ujian dan masalah baginya adalah perhatian dan kasih sayang Tuhan. Ia adalah makanan bagi jiwanya.Oleh itu, kita lihat para sahabat sangat sedih kalau Tuhan tidak menguji mereka. Kalau satu hari mereka tidak diuji,mereka bimbang. Kalau dua hari tidak diuji, mereka cemas.Kalau tiga hari tidak diuji, mereka mula merasa takut. Mereka rasa Tuhan sudah lupa dan tidak pedulikan mereka lagi.Lantas mereka merayu dan merintih kepada Tuhan agar mereka tidak disisih dan dilupakan. Agar Tuhan tidak meninggalkan mereka. Ini berterusan hingga Tuhan uji mereka kembali.Barulah mereka kembali tenang.
Para sahabat merasa tenang dalam ujian dan mereka resah dan gelisah apabila tidak diuji. Mengapa kita tidak begitu?Mengapa sikap kita sangat berbeza dan bertentangan dengan sikap para sahabat?
Tuhan ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:
Maksudnya: "Kalau kamu diuji, kamu tidak sabar. Dan kalau kamu diberi nikmat, kamu tidak bersyukur. Maka keluarlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan carilah Tuhan yang lain selain Aku."

05 Punca Rosaknya Manusia

Table of contents [hide]
  1. Manusia Sudah Kehilangan Tuhan
  2. Punca Rosaknya Manusia
  3. Manusia Ketandusan Kepimpinan
  4. Sistem Hidup Manusia Sudah Punah
Manusia rosak banyak sebabnya.Ada sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam tiga perkara yang pokok.
Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.Kedua kerana ketandusan kepimpinan dan ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.

Manusia Sudah Kehilangan Tuhan

Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan. Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak diletakkan dihadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup manusia bukan lagi untuk Tuhan.

Manusia sudah tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan tuhan-tuhan palsu yang lain. Secara sedar atau tidak, Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat dan kuasa, dengan hartabenda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat Tuhan.

Hatta, orang agama yang lahirnya nampak macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan. Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan. Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka.

Segala apa yang manusia fikirkan, segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup didunia semata-mata. Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih sayang dankeampunan Tuhan.

Manusia sudah tidak yakin lagi dengan Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka. Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT: Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56) Ramai manusia percaya kepada Tuhan. Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Merekasemua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai aqidah danpegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah ataupegangan. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada matlamat dancara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.
Bilamana manusia melupakan Tuhan, maka Tuhan pun melupakan mereka. Bilamana manusia memutuskan hubungan mereka dengan Tuhan, maka Tuhan pun berlepas diri dari mereka. Tinggallah manusia terumbang-ambing dalam arus kehidupan dunia. Tuhan tidak memimpin mereka lagi. Tuhan tidak membela mereka lagi. Manusia hanyut dalam kesesatan dan dibawa arus menuju kehancuran. Hidup manusia menjadi kucar-kacir, kelam-kabut dan haru-biru. Manusia dilanda berbagai gejala dan penyakit sosial. Hilang kasih sayang.

Punca Rosaknya Manusia

Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.

Manusia hilang tempat mengadu. Hilang tempat merujuk.Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempatmeminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.

Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.

Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.

Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.

Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai,Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, Benar, saya ada kata begitu.

Kadhi bertanya lagi, Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?

Jawab Syeikh Abdul Qadir , Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.

Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.

Manusia Ketandusan Kepimpinan

Manusia sudah tidak terpimpin lagi kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak berfungsi sebagai manusia lagi.

Pemimpin yang ada di dunia sekarang sebenarnya bukan pemimpin. Bush bukan seorang pemimpin. Blair juga bukan seorang pemimpin. Begitu juga dengan Putin, Musharaf dan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin. Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara,kewangan, khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.

Pemimpin dalam Islam bukan setakat menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani.Pemimpin dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa rakyat kepada Tuhan.Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.

Soal keperluan lahir juga penting tetapi ia jatuh nombor dua.Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi. Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.

Para pentadbir dan pemimpin dunia seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat orang-orang yang beriman dan bertaqwa.

Mana mungkin mereka mampu berbuat demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka sendiri pun kucar-kacir.Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.

Paling baik, mereka hanya boleh membawa pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat. Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan terletak kepada keselesaan hidup.Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan fitrah yang terlaksana.

Keperluan fitrah manusia yang utama ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri kepada Tuhan.Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.

Sistem Hidup Manusia Sudah Punah

Sistem hidup manusia di muka bumi ini tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia yang begitu dhaif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.

Di antaranya:
1. Sistem pendidikan sekular yang hanya bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi pencinta dan pemburu dunia.Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup nafsu-nafsi,zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya, manusia menjadi baik, berguna, bertolong-bantu dan berkasih sayang.

2. Sistem ekonomi ciptaan manusia terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia, maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk menjual barangan. Berlaku monopoli, oligopoli,kartel, menetapkan harga yang menekan dan berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana hendakkan keuntungan yang banyak.Walhal sistem ekonomi Islam menekankan khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari syariat dan hukumhakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat keredhaan Tuhan.

3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Mudamudi diajak menghayati rock, pop, metal, berpoya-poya, bergaul bebas dan berjinak-jinak dengan arak dan dadah.Hasilnya, moral muda-mudi runtuh. Timbul bohsia, bohjan,anak luar nikah, buang anak, penagihan dadah dan macammacam lagi. Walhal sistem kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan menghidupkan jiwa mereka.

Kalau hidup manusia mahu dibetulkan, tidak dapat tidak,ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.
Pertama, manusia perlu dibawa kepada Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.
Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut cara yang Tuhan mahu.

Namun, di antara ketiga-tiga perkara ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang berusaha mengubahkannya.
06 Serius Dalam Bertaubat
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:56
Dosa dan maksiat menjauhkan hamba dari Tuhannya. Ia mengundang kemurkaan dan laknat Tuhan. Ia menghijab dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Jalan untuk kembali kepada rahmat dan kasih sayang Tuhan ialah taubat. Bertaubat itu wajib hukumnya. Wajib pula kita bersegera dalam bertaubat. Sesiapa yang menangguh-nangguhkan taubat sentiasa berada dalam dosa dan kemurkaan Tuhan. 

Bagi orang Islam, taubat itu mudah. Cukup empat syarat maka sahlah taubat. Syarat-syaratnya ialah:
a. Menyesal
b. Berhenti dari membuat dosa atau maksiat
c. Berazam tidak mengulangi maksiat 
d. Kalau dosa itu bersabit degan orang lain, kena minta maaf atau minta halal darinya.

Taubat sebenarnya adalah amalan hati. Ia amalah rohaniah.Bertaubat adalah perkara hati. Itu sebabnya, syarat pertama dalam taubat ialah menyesal. Tanpa penyesalan, taubat itu tidak dinamakan taubat. Penyesalan berpunca dari hati. Penyesalan adalah pokok taubat. Itu perkara pertama dan utama yang dilihat oleh Tuhan apabila seseorang hamba itu bertaubat.

Taubat yang penuh dengan penyesalan sudah tentu akan menyebabkan perubahan. Ia tentu berkesan dalam mengubah sikap, perangai dan amalan lahir seseorang. Orang yang benar-benar bertaubat yang taubatnya penuh dengan penyesalan pasti akan dilihat berubah dan berbeza dari sebelum dia bertaubat. Kalau perangai, sikap dan amalan lahirnya tidak berubah menjadi baik, nyatalah bahawa taubatnya belum benar-benar disertai dengan penyesalan.

Oleh itu, empat syarat taubat sahaja tidak cukup. Atas dorongan perasaan sesal dihatinya, orang yang bertaubat itu perlu berusaha memperbaiki dirinya. Antara perkara-perkara yang patut diusahakan adalah seperti berikut:
  • Menambah ilmunya terutama ilmu agama
  • Menambah ibadahnya
  • Menukar kawannya dan memilih kawan yang baik dan sehaluan
  • Meninggalkan kemegahan dunianya.
  • Berhenti daripada bangga dan sombong
  • Mengubah akhlak menjadi baik
  • Sentiasa berusaha berlaku benar
  • Jangan redha dengan maksiat
Di samping itu, orang yang bertaubat dengan penuh penyesalan sudah tentu serius dalam bertaubat. Dia tentu bersungguh-sungguh mahukan supaya dosa-dosanya diampunkan Tuhan. Dia tidak akan rasa cukup hanya dengan empat syarat taubat seperti yang diterangkan sebelum ini dan usaha-usahanya untuk memperbaiki diri. Tidak ada jaminan apa-apa bahawa Tuhan akan menerima taubatnya hanya di atas dasar empat syarat tersebut.

Memang Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Namun orang yang benar-benar menyesal dan serius dalam taubatnya tidak akan rasa cukup hanya dengan empat syarat itu. Dia akan tambah taubatnya dengan perkara-perkara dan amalan-amalan lain untuk menguatkan dan memastikan taubatnya benar-benar diterima Tuhan dan dosanya diampunkan.

Diantaranya adalah:
Pertama ,
dia akan rela menerima segala ujian dan mehnah dari Tuhan. Dia akan berusaha untuk sabar dan redha dengan apa sahaja ujian yang Tuhan timpakan padanya. Dia akan menerima ujian Tuhan dengan hati yang bersedia, tenang dan terbuka. Walaupun ujian itu berat, pedih dan menyakitkan, dia tetap akan berbaik sangka dengan Tuhan dan tidak akan berputus asa dari rahmat Tuhan. Ini kerana ujian dan mehnah itu adalah penghapusan dosa. Walaupun dia sudah bertaubat, tidak ada jaminan segala dosa- dosanya itu akan terhapus hanya dengan taubatnya itu. Dia perlu juga membersihkan dirinya dari dosa melalui jalan -jalan lain termasuk melalui ujian-ujian yang Tuhan datangkan padanya.

Hadis ada menyebut yang bermaksud:
Tidak terkena anak Adam itu walaupun satu tusukan duri melainkan diampunkan dosanya.

Kedua,
dia akan membuat amalan kebajikan sebanyak- banyaknya kerana ini akan melenyapkan dosanya. Ada hadis yang bermaksud:
Iringilah kejahatan kamu dengan sebanyak-banyak kebajikan, nescaya ia akan memadamkan kejahatan kamu.

Amalan kebajikan di sini umum maksudnya. Ia termasuklah solat, puasa, wirid, zikir, baca Quran, berzakat, bersedekah, menolong fakir miskin dan orang susah dan sebagainya. Tetapi amalan kebajikan yang sangat dipandang tinggi oleh Tuhan ialah berjuang dan berjihad ke jalan Allah. Siapa yang berjuang dan berkorban untuk menegakkan agama Tuhan, sama ada pada dirinya, keluarganya dan masyarakat umum, maka Tuhan berjanji akan mengampunkan segala dosa-dosanya.

Inilah sepatutnya menjadi pegangan orang yang serius dalam bertaubat. Dia patut menjual diri, harta, jiwa dan raganya ke jalan Tuhan. Taubat sahaja tidak cukup dan tidak memadai. Tuhan ada berfirman: Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, inginkah Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasul dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa raga kamu. Itulah yang terbaik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampunkan kamu dan me- masukkan kamu ke dalam syurga. (As-Saf: 10-12)

07 Jati Diri

Table of contents [hide]
  1. MAKSUD JATI DIRl
Jati diri ini adalah istilah baru. Dahulu, istilah ini tidak ada digunakan. Ramai orang merasakan mereka faham apa maksud jati diri tetapi kalau di-minta untuk menerangkannya, mereka kurang yakin. Ramai orang keliru dengan istilah jati diri ini.
Di zaman sebelum dan sejurus selepas merdeka (1957), para remaja lebih terpelihara dan tidak terlalu terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif yang merosakkan. Pengaruh negatif ketika itu tidaklah terlalu berleluasa seperti sekarang ini. Para remaja masih kuat berpegang kepada adat resam ketimuran dan ajaran agama. Mereka sedikit sebanyak masih mempunyai jati diri.
Dua puluh hingga tiga puluh tahun kebelakangan ini lain pula ceritanya. Dengan konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan (borderless world) pengaruh negatif datang bertali arus dan jati diri para remaja merosot dengan teruknya. Mereka hilang ketahanan jiwa. Mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan segala macam kerosakan, maksiat dan budaya kuning. Mereka mudah hanyut mengikut arus. Mereka tidak ada pegangan dan pendirian.
Mereka tidak mampu menangkis pengaruh yang jahat dan merosakkan. Mereka sukar membezakan yang baik dengan yang buruk. Selalu sahaja mereka terpengaruh dan terjebak dengan yang jahat dan buruk. Pandangan mereka tidak jauh. Mereka hanya nampak apa yang di hadapan mata. Itulah yang mereka gila-gilakan dan besar-besarkan walaupun perkara itu akan memusnahkan kehidupan mereka jangka panjang.
Penglibatan remaja dengan maksiat, gejala sosial dan dadah yang berlaku di Malaysia hari ini ada pertalian rapat dengan kemerosotan dan kelemahan jati diri para remaja.

MAKSUD JATI DIRl

Jati diri orang akal
Maksud jati diri ini terpulang kepada fahaman orang yang menyebutnya. Bagi orang akal, jati diri ini ialah keteguhan, ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental. Bagi orang akal, jati diri ialah fizikal dan mental yang tahan dan lasak. Kedua-dua kekuatan ini dikatakan perlu untuk mencapai segala cita-cita dalam hidup yang mencakupi berbagai bidang. Hendak keliling dunia dengan bot layar, hendak panjat gunung Everest atau hendak berenang melintasi Selat Inggeris, ini semuanya perlukan jati diri yang teguh dan padu.
Begitu juga untuk berjaya dalam pelajaran, dalam perniagaan, dalam perusahaan, dalam kepimpinan, dalam kerjaya dan sebagainya, semuanya memerlukan jati diri. Iaitu ketahanan, keteguhan dan kelasakan fizikal dan mental untuk menuju kepada sesuatu pencapaian dan kejayaan.
Sebab itu cara orang akal membina jati diri ialah dengan melatih fizikal dan mental di kem-kem latihan jati diri supaya kedua-duanya menjadi teguh dan kuat. Ini kata mereka akan meningkatkan kemampuan dan ketahanan fizikal dan mental seseorang.
Jati diri bagi orang akal hanya bertujuan untuk mencapai kepentingan dan kejayaan duniawi semata-mata. Kadang-kadang dalam hendak mencapai jati diri ini berbagai kegiatan yang melalaikan dan maksiat dilakukan termasuk berpesta-pesta, camp-fire, pergaulan bebas lelaki perempuan dan sebagainya. Sembahyang tidak dititikberatkan. Soal iman, soal akhlak dan kemurnian hati tidak diambil kira.
Hasilnya, remaja dan muda-mudi mungkin bertambah kuat membuat kerja-kerja lahir tetapi akhlak dan keperibadian mereka rosak. Mereka semakin jauh dari agama dan semakin jauh dari Tuhan. Jiwa mereka lemah dan mudah jinak dan terpengaruh dengan maksiat dan kemungkaran.
Jati diri orang agama
Jati diri bagi orang agama atau orang rohani lain pula maksudnya. Jati itu pada bahasa membawa maksud murni. Dalam konteks ini, ia juga membawa maksud keteguhan seperti kayu jati yang kuat dan teguh hingga boleh diukir tanpa ia patah. Kayunya pun tahan lama, tidak lapuk dan tidak dimakan anai-anai atau bubuk. Perabot yang diperbuat dari kayu jati tahan dan boleh digunakan turun temurun.
Diri itu bukan pula fizikal atau mental (akal) manusia sahaja. la adalah hakikat diri manusia itu sendiri iaitu hatinya atau jiwanya atau rohnya. Yang dikatakan diri manusia itu ialah hatinya. Oleh itu, bagi orang agama, jati diri itu bermaksud keteguhan atau ketahanan hati atau keteguhan jiwa. Inilah maksud jati diri yang sebenarnya.
Oleh itu, jati diri yang sebenarnya seperti yang difahami oleh orang agama bukan sahaja setakat kekuatan fizikal dan mental. la termasuk juga keteguhan hati, roh atau jiwa. Jati diri bagi orang agama bertujuan untuk meneguh dan menguatkan jiwa supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang melalai dan merosakkan. la bertujuan untuk mencapai kemurnian hati demi untuk menempah kejayaan dan keselamatan di dunia dan di Akhirat.
Orang yang mempunyai jati diri ialah orang yang kuat rasa bertuhan dan kuat berpegang kepada agama. Dia tegas dan berprinsip. Sentiasa di atas jalan yang benar dan lurus. Dia tidak mudah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang rosak.
Menguatkan fizikal itu mudah. Menguatkan mental lebih rumit sedikit tetapi boleh juga dikira mudah. Tetapi menguatkan hati atau jiwa itu amat sulit dan amat rumit. Tidak semua orang faham akan tuntutan-tuntutan dan liku-likunya, jauh sekali mampu melaksanakannya. la perkara yang halus dan seni yang melibatkan soal roh dan hati. la bidang yang khusus untuk orang yang khusus. Bukan semua orang boleh memahami dan melakukannya.
a. Menguatkan fizikal
Dalam menguatkan fizikal, cukuplah dengan menjaga beberapa perkara yang melibatkan hal fizikal. Makan minum contohnya kenalah secara sederhana dan pada waktunya. Jangan makan terlalu banyak dan jangan terlalu sedikit. Makanlah makanan yang berkhasiat. Kunyah makanan sampai lumat sebelum ditelan.
Kerehatan kena dijaga. Tidur biar cukup. Jangan terlalu banyak tidur. Jangan pula terlalu kurang. Tidurlah di waktu qailullah (lebih kurang satu jam sebelum Zuhur) dan selepas waktu Isyak di waktu malam. Jangan tidur selepas waktu Asar dan Subuh dan di waktu selepas makan. la merugi dan memudaratkan.
Kebersihan lahir perlu dijaga dari najis, kekotoran dan fudhul (hasil rembesan badan yang kotor) seperti peluh, daki tahi gigi, tahi hidung, tahi telinga, tahi kuku dengan istinja, mandi, berus gigi, potong kuku dan sebagainya. Jaga kebersihan rumah dan persekitaran.
Buat latihan fizikal dan beriadhah terutama dengan cara yang digalakkan oleh Islam seperti bertani, mengembara, menunggang kuda, berenang, memanah dan lain-lain lagi.
b. Menguatkan mental
Dalam menguatkan mental pula cukup dengan belajar ilmu dan menimba pengalaman. Ilmu termasuklah ilmu fardhu ain, ilmu fardhu kifayah dan ilmu yang harus. Ini boleh dilakukan dengan belajar, membaca dan bermuzakarah. Kita boleh menimba pengalaman dalam berbagai bidang hidup seperti masyarakat, iklim, ekonomi, kebudayaan, adat istiadat dan sebagainya dengan mengembara, membuat kajian, melihat, memerhati dan meneliti segala kejadian di sekeliling kita dan berkongsi pengalaman dengan orang lain dengan mendengar dan membaca.
c. Menguatkan jiwa
Usaha untuk menguatkan jiwa, hati atau roh adalah lebih rumit. la dibangunkan dengan ilmu, iman dan taqwa. Dengan menguatkan aqidah dan pegangan kepada Tuhan. Dengan membina jiwa tauhid. la bukan setakat percaya pada Tuhan tetapi mesti ada rasa cinta dan takut pada Tuhan. Mengetahui bahawa Tuhan ada peranan dalam hidup. Merasakan bahawa diri itu hamba dan menanam segala sifat-sifat hamba di dalam hati. Mengamalkan dan menghayati syariat hingga ia benar- benar berkesan di jiwa.
Jati diri yang sebenar adalah ketahanan hati bukan kekuatan fizikal ataupun kekuatan mental semata-mata. Jati diri adalah kekuatan jiwa dan keteguhan hati. la adalah ukuran kekuatan seseorang manusia. Tanpa jati diri bererti tidak ada ketahanan jiwa. Jiwa jadi rapuh, reput dan lemah. Jiwa akan diserang dan dihinggapi oleh berbagai-bagai penyakit. Sifat-sifat dan pengaruh yang negatif mudah masuk ke dalam hati dan merosakkannya. Jiwa tidak ada pertahanan dan terdedah kepada bahaya.
Akhirnya, manusia hanyut dari hak dan kebenaran dan terperangkap dalam kelalaian dan kebatilan. Mereka tersasar dari jalan yang lurus. Mereka menjadi renggang dengan agama dan renggang dengan Tuhan. Inilah titik tolak bagi kemusnahan dan kehancuran hidup manusia.
Menguatkan jiwa manusia bukan kerja semua orang. Tidak semua orang mampu melakukannya. Orang yang hendak melakukannya mestilah terlebih dahulu mempunyai jiwa yang kuat dan kuat pula hubungan dan pautan hatinya dengan Tuhan.

08 Penyakit Jiwa

Table of contents [hide]
  1. GEJALA PENYAKIT JIWA
  2. PENYEBAB PENYAKIT JIWA
  3. KESAN JANGKA PANJANG
  4. KEMBALI KEPADA TUHAN
  5. KEMBALI KEPADA FITRAH
  6. KESAN PENYAKIT JIWA YANG LEBIH PARAH
  7. JALAN KELUAR
  8. PENYAKIT JIWA MAZMUMAH
Orang memandang penyakit sosial itu berat. Orang memandang penyakit dadah khususnya lebih berat lagi dari penyakit sosial yang lain. Namun ada penyakit yang lebih berat dari itu yang manusia tidak sedar dan tidak tahu.
Apa yang manusia tidak sedar ialah penyakit dadah dan penyakit sosial adalah disebabkan oleh suatu penyakit yang lain. Penyakit inilah yang melahirkan penyakit sosial dan penyakit dadah. Ia penyakit yang melahirkan penyakit. Ini banyak orang tidak faham. Bahkan masyarakat, pakar-pakar dan negara sendiri pun tidak faham.
Kalau ada orang terlibat dengan dadah, asalnya dia bukan hendak cari dadah tetapi hendak cari ubat. Dia hendak cari penawar bagi penyakit yang dihidapinya. Dadah disangkanya ubat. Dadah disangkanya penawar. Rupa-rupanya dia tersilap ubat. Dia termakan racun. Hakikat inilah yang orang tidak nampak.
Ertinya, dadah itu penyakit kedua. Ia penyakit mendatang. Ia dilahirkan oleh penyakit yang pertama. Ramai penagih terlibat dengan dadah kerana hendak mencari ubat untuk penyakit pertama yang dialaminya. Cari sana, cari sini, terjumpa dadah. Rupanya bukan terjumpa ubat tetapi terjumpa racun.
Begitu jugalah orang yang terlibat dengan maksiat yang lain. Asalnya kerana hendak mencari ketenangan. Hendak mencari sesuatu untuk mengisi jiwa yang kosong. Oleh kerana tidak ada panduan dan didorong pula oleh nafsu, maka mereka melibatkan diri dengan maksiat. Mereka sangka maksiat itu boleh menenangkan hati mereka.
Penyakit pertama ini ialah penyakit jiwa. Ia penyakit rohani yang ramai orang tidak faham. Orang cerdik pandai pun tidak faham. Mereka tidak faham apa bentuk penyakitnya, tidak faham puncanya dan tidak faham bagaimana cara hendak mengubatnya. Ia adalah penyakit batin atau penyakit rohani atau penyakit yang tersirat. Kalau dilihat secara lahir, penyakitnya tidak nampak. Ia penyakit yang terpendam di lubuk hati.

GEJALA PENYAKIT JIWA

Di antara gejala atau tanda penyakit jiwa ini ialah rasa risau semacam, rasa kosong, rimas dan runsing tidak menentu. Kadang-kadang yang mengidap penyakit ini ada duit, kaya, ada pangkat, ada nama dan glamour, ada ilmu dan sebagainya. Namun semua itu tidak dapat menghindar mereka dari dihinggapi penyakit ini. Fikiran menerawang tidak tentu hala. Hilang pedoman dan tidak ada tujuan dan matlamat hidup.
Dia rasa keseorangan, tiada pembela dan tiada pelindung. Tidak ada tempat bergantung dan berpaut.
Dia tidak ada tempat untuk mengadu dan bersandar. Tidak ada tempat untuk meluahkan perasaannya yang gundahgulana. Segala masalah terpaksa ditanggung sendiri.
Dia terapung-apung dan hanyut dalam kehidupan. Sentiasa takut dan curiga, tiada harapan dan putus asa. Seolaholah dia sedang menuju suatu kemusnahan dan kehancuran yang dia sendiri tidak tahu apa bentuk dan hakikatnya. Jiwanya tidak tenang. Dia tidak bahagia. Dia ditekan oleh berbagai perasaan yang tidak menentu yang mencemaskan dan menakutkan.

PENYEBAB PENYAKIT JIWA

Di antara yang menyebabkan penyakit ini ialah tekanan hidup. Hidup adalah pertarungan antara susah dan senang. Kehidupan bererti berhadapan dengan berbagai-bagai masalah dan cabaran. Masalah datang silih berganti dan bertukar ganti. Ia datang dalam berbagai-bagai tempat dan situasi yang tidak dapat kita jangka atau fikirkan. Ia berlaku setiap hari, cuma bezanya, ada masalah yang kecil dan ada masalah yang besar dan sungguh menekan perasaan.
Masalah juga datang dalam berbagai keadaan dan bentuk. Ia melibatkan berbagai rasa. Suka dan duka, senang dan susah, gembira dan dukacita, jijik, benci, rasa lega, malu, jemu, sakit hati, kecewa, sakit dan sihat, miskin dan kaya, rasa lapang dan sempit, risau, tertekan dan seribu satu macam lagi. Masalah datang tanpa kita mahu dan tanpa kita tahu.
Masalah berlaku tidak kira tempat dan masa. Ia datang ke rumah, ke tempat kerja, dalam bermusafir, di tengah ramai dan di waktu keseorangan.
Ada kalanya masalah yang menekan perasaan itu berlaku tidak tahu puncanya. Tiba-tiba sahaja hati rasa risau, rasa kosong dan rasa runsing tidak menentu. Ini ditambah lagi dengan kekusutan keluarga, masyarakat yang porak-peranda, hidup nafsi-nafsi, negara dan pemerintahan yang tidak stabil, ekonomi yang tidak menentu, tidak peduli mempeduli dan tidak ada kasih sayang. Benarlah seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya dunia itu negara bala dan ujian.”

KESAN JANGKA PANJANG

Penyakit ini, kalau dibiarkan berlama-lama, jiwa akan menjadi semakin kosong. Semakin lama semakin risau dan runsing. Hati gelisah dan tidak tenang. Kalau yang punya diri tidak faham dan masyarakat pula tidak dapat membantunya, maka akan tercetuslah penyakit lahir atau penyakit kedua. Boleh jadi akan berlaku penagihan dadah, vandalisme, gangsterisme, lepak, bohsia, bohjan dan bermacam-macam lagi penyakit masyarakat yang lain.
Ini kerana tuan punya diri yang mengalami penyakit jiwa, yang jiwanya kosong, hampa, risau dan runsing itu akan berusaha mencari ubat. Dia akan berusaha mencari ketenangan. Mula-mula mungkin dia akan jumpa doktor saikologi. Tetapi doktor saikologi pun ditimpa penyakit yang sama. Bila tidak sembuh, penyakit jiwa ini menjadi semakin serius, kronik dan menjadi-jadi. Pesakit jiwa ini akan mula mencari ubat lain. Di sini syaitan pun ambil peluang untuk mencelah dan menipu daya. Ada yang digoda mencuba dadah dan terus terperangkap dengan dadah. Rosak kesihatan dan menjadi ketagih. Bila tidak dapat dadah, badan sakit. Kenalah cari dadah dengan segera. Begitulah berlaku setiap masa. Habis duit, habis harta, susah ibu bapa dibuatnya. Kadang-kadang mencuri, meragut dan pecah rumah untuk mendapat duit membeli dadah. Masyarakat meluat dan benci padanya. Masyarakat mencaci, menghina, mengeji, menyisih, memulau dan menghalaunya.
Ada pula yang digoda membuat segala macam maksiat yang lain. Minum arak, berjudi, berzina, merogol dan sebagainya. Sudahlah pesakit ini sengsara di dalam kerana sakit jiwanya yang tidak sembuh, ditambah pula sengsara dari luar disebabkan tekanan dan cemuhan oleh masyarakat. Tidak ada simpati, tidak ada belas kasihan dan tidak ada kasih sayang.
Oleh itu, penyakit jiwanya bertambah-tambah serius dan kronik. Kalau dahulu, tekanan jiwa dan sengsaranya selapis sahaja iaitu hanya tekanan dan sengsara dari dalam tetapi kini dia terpaksa pula menanggung sengsara dari luar juga. Masalah dan penanggungannya bertambah-tambah berat sedangkan kekuatannya untuk menanggung beban itu bertambahtambah lemah. Dia makin tenggelam dan makin tenggelam di dalam seksaan dan penderitaannya itu. Siapakah yang akan memberikan simpati? Siapakah yang akan belas kasihan? Siapakah yang akan memberi kasih sayang? Di ranting manakah dia akan berpegang? Di dahan manakah dia akan berpaut? Atau akan kita biarkan dia hanyut dan tenggelam dalam seksaan dan penderitaannya itu. Atau kita sisihkan akan dia seperti anjing kurap di tepi jalan, untuk kita kutip “bangkainya” satu hari nanti supaya ditanam.

KEMBALI KEPADA TUHAN

Bagaimana penyakit jiwa ini boleh berlaku? Manusia rasa dia ada kuasa. Dia rasa dia kuat dan boleh buat apa sahaja. Bila ada cabaran dan tekanan hidup, rupanya dia tidak ada kuasa. Dia rasa tertekan. Bagaimana hendak menangkisnya? Bila tidak dapat ditangkis, maka jiwanya derita, dia rasa tension dan mengalami stress.
Oleh kerana manusia tidak ada kuasa untuk mengatasi cabaran dan kesusahan, maka fitrahnya ingin agar ada orang yang membela dan menyelamatkan dia. Bila ada masalah, dia ingin agar ada orang yang menolong. Tetapi siapakah yang boleh menolong? Adakah manusia, sedangkan semua manusia mempunyai masalah yang sama. Apakah haiwan, atau tanaman sedangkan mereka tidak berakal. Apakah harta benda atau mesin atau ilmu? Sedangkan semua itu adalah rekaan manusia sendiri yang tidak mampu berbuat apa-apa.
Kalau begitu, manusia perlukan satu zat yang kemampuannya di luar itu semua. Manusia perlukan satu super power yang lebih dari segala-gala yang ada di alam ini.
Manusia perlukan Tuhan, Zat yang Maha Agung yang kuasa-Nya tiada mula dan tidak terbatas. Apabila Dia menghendaki sesuatu, hanya dengan berkata jadi maka jadilah. Dia Zat yang Maha Menyelesaikan segala masalah manusia. Dia doktor yang Maha Pakar dan menyembuhkan penyakit jiwa manusia. Dia tidak bertempat dan tidak tertakluk kepada ruang dan masa. Dia boleh dihubungi, boleh menghubungi dan boleh menyelesaikan masalah seluruh manusia dan makhluk-Nya serentak dalam satu masa di mana sahaja.
Malangnya, ramai manusia tidak percaya Tuhan, tidak kenal Tuhan dan tidak faham peranan Tuhan. Lebih-lebih lagi tidak cinta dan tidak takut Tuhan. Inilah yang menyebabkan jiwa jadi kosong. Inilah dia asas bagi penyakit jiwa. Kalau kita tidak tahu bahawa Tuhan ada peranan dalam kehidupan ertinya kita tidak ada pelindung, dan kita tidak ada pembela.
Apabila ada masalah kita tidak ada tempat rujuk dan tempat mengadu. Kita tidak ada tempat bergantung. Kalau kekosongan jiwa ini berlaku satu hari, tidak mengapa. Tetapi kalau berlaku bertahun-tahun, ia jadi barah. Akhirnya barah ini pecah dan lahirlah penyakit jiwa. Manusia lemah dan tidak ada kuasa. Oleh itu manusia perlu bersandar kepada sesuatu kuasa yang gagah, perkasa dan mutlak iaitu Tuhan. Barulah hati manusia akan menjadi teguh dan kuat.
Manusia perlu kepada Tuhan. Manusia perlu rasa bertuhan. Tuhan adalah segala-galanya. Kekuatan jiwa manusia adalah setakat mana dia rasa bertuhan. Kurang rasa bertuhannya, maka kuranglah kekuatan jiwanya. Kuat rasa bertuhannya maka kuatlah jiwanya. Kalau seseorang itu tidak langsung mempunyai hubungan dengan Tuhan, percaya pun tidak, kenal pun tidak, maka jiwanya akan menjadi lemah dan rosak, dan akan dihinggapi penyakit. Akan timbullah rasa kosong, risau, rimas dan runsing. Akan hilang ketenangan jiwa. Allah ada berfirman:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’du: 28)

KEMBALI KEPADA FITRAH

Apabila manusia lahir ke dunia, dia dibekalkan dengan fitrah. Fitrah adalah keinginan dan kecenderungan semulajadi. Keinginan fitrah yang paling besar dan utama ialah rasa ingin bertuhan. Rasa perlu kepada Tuhan. Rasa mahu kepada Tuhan. Rasa ingin membesar, mengagungkan, mengabdi diri dan bergantung dengan Tuhan.
Orang yang tidak percaya dan tidak kenal Tuhan itu adalah orang yang melawan fitrah semulajadinya. Iaitu dia melawan kehendak hati dan jiwanya. Dia tidak memenuhi keperluan dan tuntutan jiwanya. Dia hanya mengikut arahan nafsunya. Percaya, kenal dan rasa bertuhan itu adalah makanan bagi hati dan jiwa. Orang yang tidak percaya, tidak kenal dan tidak rasa bertuhan itu ialah orang yang tidak memberi makan kepada hati dan jiwanya. Hatinya jadi gersang dan tandus, lemah dan longlai. Itu sebab timbul krisis jiwa. Itu sebab jiwa dihinggapi penyakit.

KESAN PENYAKIT JIWA YANG LEBIH PARAH

Orang yang mengidap penyakit jiwa ini terdedah kepada berbagai-bagai bahaya. Dalam hendak mengubat jiwanya yang parah dan menderita itu bukan terhenti setakat menagih dadah. Ini dianggap ringan. Di dalam kes-kes yang lebih berat, ada yang mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Ini penyakit yang maha besar. Dia akan ditimpa seksa Neraka yang amat dahsyat, kekal abadi selama-lamanya.
Ada pula pesakit jiwa yang mencari ketenangan dengan membunuh orang sesuka hati. Dia rasa dengan membunuh orang, hati dia jadi tenang. Ada yang suka hirup darah binatang atau darah manusia. Ada yang mencari ketenangan dengan merogol. Ada yang mencari ketenangan dengan merosakkan harta umum (vandalisme). Padahal, bagi orang yang sihat jiwa, semua perbuatan ini dirasakan keji dan jijik dan mendatangkan rasa bersalah (guilty conscious). Bagi orang yang sakit jiwa, dia melakukan semua itu untuk mendapatkan ketenangan. Bagi mereka, itu disangkakan ubat.
Begitulah keadaan orang yang ditimpa penyakit jiwa. Dari sakit jiwa, berbagai-bagai perkara negatif dan berbahaya boleh berlaku sama ada kepada pesakit itu sendiri atau kepada masyarakat.
Di Barat, oleh kerana mereka sudah terlalu maju dan terlalu jahat, gejala masyarakat sudah jadi budaya. Mereka tidak fikir masalah dadah lagi. Mereka tidak menagih dadah lagi kerana telah lali dengan dadah. Maka lahir pula penyakit lain yang lebih aneh dan tidak logik. Kalau di Malaysia, orang membunuh kerana hasad dengki. Ertinya dia ada sebab untuk membunuh. Kalau bunuh orang kerana hendak merompak, masih ada sebab. Di Barat, kerana jiwa telah terlalu rosak, sudah ada orang membunuh hanya untuk memuaskan hati. Jumpa orang, dia tembak dan bunuh tanpa sebab. Kalau di Malaysia, orang bunuh orang kerana ada sebab tetapi di Barat orang bunuh orang untuk mendapat ketenangan. Bagi dia membunuh itu adalah ubat untuk mendapat ketenangan jiwa.
Sesetengah orang di Barat, dia mencuri bukan kerana hendakkan barang tetapi dia rasa bila mencuri, hatinya puas. Di Barat, orang mencuri untuk puaskan hati. Sudah dapat barang yang dicuri, dibuangnya. Ada juga orang, kerana penyakit jiwanya, kalau dia jumpa kucing, disiat-siatnya kucing itu. Kalau dia jumpa tikus, dihentaknya hingga lumat. Dia seronok dan merasa puas dengan kerja itu.
Mungkin ada orang yang merogol kerana tidak ada isteri untuk melepaskan nafsunya. Tetapi di Barat, selain kerana nafsu, orang merasa puas hati kalau dapat merogol orang. Merogol itu sebagai ubat bagi jiwanya yang kosong. Jadi segala penyakit yang lahir ini adalah kerana penyakit jiwa yang tersembunyi.

JALAN KELUAR

Apakah yang perlu kita buat untuk mengubati penyakit jiwa yang tersembunyi ini supaya jangan timbul penyakit kedua atau penyakit lahir yang memberi kesan dan mengharubirukan masyarakat. Ini termasuklah penagihan dadah, gejala sosial dan berbagai bentuk maksiat yang lain.
Bagaimana kita mahu mengelak supaya hati-hati mudamudi dan remaja tidak menjadi kosong, risau dan rimas tidak menentu. Supaya fikiran mereka jangan berpusing tidak tentu hala. Kita mesti cari jalan bagaimana hendak lahirkan satu generasi yang jiwanya tidak kosong, tidak gelisah dan mempunyai fikiran yang stabil. Kalau penyakit jiwa ini dapat dirawat dan disembuhkan, mengubat penyakit kedua atau penyakit lahir sudah jadi mudah.
Untuk mengubatinya, kita kena pulihkan semula jiwa bertuhan. Beri mereka ilmu tentang Tuhan, ilmu yang boleh mendatangkan rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Fahamkan mereka tentang peranan Tuhan dalam kehidupan. Yakinkan mereka bahawa Tuhan adalah sangat diperlukan oleh setiap insan. Tuhan adalah segala-galanya. Setiap orang yang ber83 tanggungjawab untuk memulihkan penyakit jiwa ini kenalah faham apa yang disebut di atas. Itulah ramuannya. Itulah penawarnya. Tidak ada yang lain.
Di samping itu, sebagai tambahan:
  • • Betulkan semula sistem rumah tangga
  • • Stabilkan semula sistem masyarakat
  • • Hapuskan hidup nafsi-nafsi
  • • Stabilkan semula pemerintahan dan politik
  • • Susun semula sistem ekonomi supaya agihan keperluan jadi merata.
Walaupun perkara ini bukan perkara asas atau pokok, namun ia adalah perkara tambahan yang dapat membantu.

PENYAKIT JIWA MAZMUMAH

Kita baru selesai membincangkan penyakit jiwa yang biasa. Selain penyakit jiwa yang biasa ini, ada lagi bentuk penyakit jiwa yang kesannya adalah jauh lebih serius. Ia dinamakan penyakit jiwa mazmumah. Kalau penyakit jiwa yang biasa itu gejalanya ialah rasa kekosongan, risau, runsing dan rimas, penyakit jiwa mazmumah ini pula ialah disebabkan hati yang telah diserang dan dikotori oleh sifat-sifat yang keji seperti sombong, tamak, bakhil dan lain-lain.
Penyakit jiwa mazmumah ini lebih bahaya. Penyakit inilah yang boleh memecah-belahkan rumah tangga, memecahbelahkan masyarakat, memusnahkan perpaduan dan kasih sayang, menimbulkan perbalahan, krisis, jatuh menjatuh dan peperangan. Dunia hari ini lebih banyak dirosakkan oleh penyakit jiwa mazmumah ini dari penyakit jiwa biasa atau penyakit-penyakit yang lain.
09 Mengembara Ke Alam Jin
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:56
Jin memang wujud. Orang Islam wajib percaya akan wujudnya makhluk jin kerana ia disebut di dalam Al Quran. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.” (Az-Zariat: 56)
Tuhan ada berfirman bahawa alam yang dicipta-Nya ada dua bentuk. Ada alam ghaib dan ada alam nyata atau alam syahadah. Alam nyata ialah alam yang mata lahir boleh nampak. Alam ghaib, mata lahir tidak boleh nampak tetapi dapat dirasakan oleh hati.
Merasakan wujudnya alam ghaib dengan hati ada dua peringkat. Pertama, terasa akan adanya alam ghaib itu. Iaitu yakin dan percaya tentang alam ghaib semata-mata berdasarkan rasa sahaja. Tidaklah sampai dapat melihat macam mata lahir. Peringkat kedua ialah hati boleh melihat macam mana mata lahir melihat. Bukan setakat rasa sahaja tetapi mata bathin dapat melihat seperti mana mata lahir melihat. Yakni betul-betul nampak.
Bila dikatakan alam ghaib, ia tidak termasuk Tuhan. Tuhan juga ghaib tetapi Tuhan bukan alam. Tuhan itu tersendiri. Maha Suci Tuhan dari menyerupai alam. Alam adalah apa sahaja selain Tuhan. Alam adalah ciptaan Tuhan dan dinamakan makhluk. Tuhan itu Pencipta atau Khaliq. Ghaibnya Tuhan tidak sama dengan ghaibnya alam.
Alam ghaib ini ada beberapa kategori. Yang tertinggi ialah alam malaikat. Kedua alam jin dan ketiga alam ruh muqaddasah. Malaikat diceritakan dalam Quran dan Hadis. Malaikat lebih dahulu diciptakan dari jin. Ia dijadikan dari cahaya manakala jin dicipta dari api. Oleh itu malaikat lebih ringan ciptaannya dari jin kerana cahaya lebih ringan dari api. Sebab itu juga bilangan malaikat lebih ramai dari jin. Nisbahnya pada setiap sepuluh malaikat satu jin. Juga disebabkan malaikat dicipta dari cahaya, perjalanannya lebih laju dari jin.
Jin pula lebih dahulu dicipta dari manusia. Kalau jin dijadikan daripada api, manusia dijadikan daripada tanah. Sebab itu manusia berbentuk jisim yang pejal, lebih lambat pergerakannya. Sebab itu juga jin lebih ramai bilangannya daripada manusia. Nisbahnya setiap sepuluh jin satu manusia. Malaikat lebih ramai dari jin dan jin pula lebih ramai dari manusia dengan nisbah 10:1.
Ruh muqaddasah pula sebenarnya adalah manusia. Muqaddasah itu maksudnya suci. Roh muqaddasah ialah ruh yang suci. Ruh muqaddasah atau ruh yang suci ini peranannya lebih kuat dari peranan jasad. Ruh muqaddasah ini dia mutassarif atau aktif, lebih aktif dari fizikalnya.
Ruh muqaddasah ini pula, ada ruh orang yang masih hidup dan ada ruh orang yang sudah mati. Sebab itu, tidak hairanlah orang yang kasyaf kadang-kadang dapat melihat orang yang masih hidup di suatu tempat sedangkan fizikalnya yang sebenar berada di tempat lain. Ada juga orang kasyaf yang melihat ruh muqaddasah orang yang sudah mati. Oleh kerana umumnya ruh muqaddasah tidak boleh dilihat oleh mata kasar, maka ia dikatakan ghaib juga.
Jadi, ruh muqaddasah ini, walaupun fizikalnya hidup atau mati, ruhnya sangat berperanan. Namun, ruh muqaddasah orang yang sudah mati lebih berperanan dari ruh muqaddasah orang yang masih hidup. Ini kerana orang yang masih hidup masih terikat dengan jasad lahir. Kalaupun ruhnya boleh keluar secara halus, secara mata tidak boleh lihat, dia tetap masih terhubung dengan jasad lahirnya. Ini tidak berlaku kepada ruh orang yang sudah mati. Itu sebab ruh muqaddasah orang yang sudah mati lebih laju dan lebih aktif dari ruh muqaddasah orang yang masih hidup. Contohnya, kalau ada dua orang wali, yang kedua-duanya sudah menjadi ruh muqaddasah , kalau seorang masih hidup dan seorang lagi sudah mati, ruh wali yang sudah mati itu akan lebih berperanan, lebih aktif dan lebih laju bekerja dari ruh wali yang masih hidup.
Berbalik kepada kisah jin, dia ada dua golongan. Ada jin Islam dan ada jin kafir. Jin ini pula macam manusia juga. Dia ada bermacam-macam jenis, bangsa dan etnik. Tabiat bangsa dan etnik jin inipun tidak sama di antara satu dengan lain.
Seperti juga manusia yang banyak bangsa dan etnik, tabiat dan ragam semulajadi antara etnik tidak sama. Bangsa Cina dan Melayu ada watak-wataknya yang tersendiri. Orang Putih ada wataknya yang tersendiri pula. Bahkan etnik dalam satu rumpun bangsa pun wataknya tidak sama. Orang Banjar dan orang Jawa, wataknya berbeza. Malahan orang Melayu yang berlainan negeri pun berbeza wataknya. Orang Melayu Johor dan Melayu Kelantan lain. Mereka ini sedikit-sedikit ada perbezaan watak. Begitu juga jin. Ada yang kasar dan ada yang lembut sedikit. Ada yang garang dan ada yang sederhana. Jin itu watak semula jadinya jahat. Betapalah jenis yang kasar, dia lagi jahat. Sebab itu dikatakan, sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kalau kita pilih seorang manusia yang paling jahat, kalau dia jin, dia adalah yang paling baik.
Namun demikian, jahatnya jin itu ada juga batasnya. Tidak ada jin yang sebegitu jahat sampai mengaku dirinya Tuhan seperti Firaun dan Namrud. Tidak ada pula jin yang sebegitu baik sampai mengatasi baiknya Rasulullah dan para Nabi. Para Nabi dan Rasul tidak diangkat dari kalangan jin. Umumnya jin lebih jahat dari manusia tetapi tidak ada yang ekstrem jahatnya seperti Firaun dan Namrud dan tidak ada yang ekstrem baiknya seperti Rasulullah SAW. Hanya manusia yang ada baiknya secara ekstrem dan jahat secara ekstrem.
Jin dapat melihat Iblis dan bergaul bersama-samanya di alam ghaib. Jin Islam bergaul dengan jin kafir. Mereka makan bersama, bekerja bersama, berniaga bersama, ada yang kahwin antara satu sama lain, sama-sama duduk dalam satu pejabat, sama-sama jadi kerani dan sebaginya. Sebab itu jin Islam lebih banyak dirosakkan oleh jin-jin kafir. Sebab mereka bergaul bersama dan mereka sama jenis. Mereka mudah terpengaruh.
Macam kita manusia juga, kalau bergaul dengan bangsa jahat seperti orang Barat dan Yahudi, habislah kita jadi Barat dan Yahudi. Semuanya boleh bertukar jadi Barat dan Yahudi. Yang tidak boleh bertukar hanyalah warna kulit dan bentuk hidung. Ini kena buat plastic surgery.
Jin kurang berkesan dalam usaha merosakkan iman manusia berbanding iman sesama jin. Ini kerana manusia dan jin berlainan jenis, dan manusia tidak boleh nampak dan tidak boleh bergaul dengan mereka. Itupun banyak manusia yang kafir, banyak yang zalim dan yang fasik. Betapalah kalau jin dan manusia sama-sama boleh bergaul.
Bila jin menjadi kafir, dia dipanggil syaitan. Syaitan itu maksudnya merasuk. Kerja jin kafir atau syaitan ialah merasuk dan menyesatkan orang. Jin Islam tidak boleh dikatakan syaitan.
Kehidupan jin betul-betul macam manusia. Ada kerajaannya, ada masyarakat, ada pejabatnya, ada mahkamahnya, ada nikah kahwin. Tempat tinggal jin pelik dan aneh. Ada yang tinggal di gunung-gunung, hutan-hutan, laut, kawasan sungai dan hulu-hulu sungai. Ada juga jenis jin yang bergaul dengan manusia.
Jin yang duduk di sesebuah negara, biasanya ikut bahasa manusia setempat. Kalau di Tanah Arab, jin berbahasa Arab, kalau di Tanah Melayu, jin berbahasa Melayu. Dia tidak tahu bahasa Arab. Kalau jin yang duduk di Negara China maka bahasanya bahasa Cinalah. Mereka pun belajar dan berguru dengan manusia.
Rupa asal jin sangat hodoh dan buruk. Ia menakutkan. Kalau manusia terlihat jin ini hidupnya jadi huru hara dan ketakutan. Manusia tidak akan aman. Dengan rahmat Tuhan, alam jin dihijab dari pandangan manusia. Tetapi alam manusia tidak dihijab dari pandangan jin. Sehodoh-hodoh manusia adalah secantik-cantik jin.
Walaupun rupa asal jin itu hodoh tapi dia boleh menyerupai berbagai rupa. Dia boleh merupa benda seperti kain, beg, pokok, binatang dan juga manusia, tetapi paling banyak dia menyerupai binatang. Ini termasuklah ular, kala jengking, lipan dan jenis-jenis binatang lain yang berbisa. Kalau dia menyerupai binatang seperti ini, rupanya lebih aneh dan lebih hebat dari yang biasa. Kalau dia dibunuh ketika dia sedang menyerupai binatang, dia akan mati.
Sebab itu Tuhan ajar kita, kalau jumpa binatang berbisa di tengah jalan atau di dalam rumah, kena berhati-hati. Jangan terus bunuh walaupun dalam Islam hukumnya sunat. Halau dua tiga kali dahulu. Kalau dia tidak lari baru dibunuh. Takut89 takut ianya jin yang sedang merupa. Kalau kita terus bunuh dan dia sebenarnya jin yang sedang merupa, mungkin keluarganya akan marah dan akan bertindak terhadap kita.
Ramai orang yang dirasuk dan diganggu oleh jin disebabkan mereka ada buat silap dengan jin. Kalau setelah dihalau dua tiga kali tetap juga tidak pergi maka jelas itu bukan jin. Boleh kita bunuh.
Ada cerita dalam kitab, seorang soleh telah membunuh seekor ular. Maka pada malamnya, dia ditangkap dan dibawa oleh jin ke negeri jin. Di negeri jin itu berjalan hukum Islam. Hakim jin itu pun Islam.
Maka orang soleh dan keluarga jin yang dibunuh oleh orang soleh tadi dibawa ke mahkamah. Bila perbicaraan bermula maka menangislah keluarga jin sambil berkata kenapa ahli keluarga mereka di bunuh. Bila hakim jin bertanya kepada orang soleh tersebut mengapa dia bunuh ular itu, dia menjawab kerana dalam ajaran Islam, sunat hukumnya saya membunuh ular dan binatang-binatang yang berbisa. “Saya buat atas arahan Tuhan dan saya dapat pahala. Yang salah adalah jin itu. Kenapa dia merupa ular. Salah dialah. Saya kena bunuh ular kerana itu sunat hukumnya.”
Hakim jin menghukum bahawa yang salah dalam kes ini bukan manusia tetapi pihak jin. Dia buang kes. Hakim arahkan polis jin supaya menghantar balik orang soleh itu kembali ke alam manusia. Kalau dia bukan orang soleh dan tidak boleh menjawab sudah tentu dia kena hukum. Orang soleh itulah yang menulis kisah ini dalam kitab. Hujah ini hujah yang kuat.
Jangka hayat jin sangat lama berbanding jangka hayat manusia yang lebih kurang 63 tahun. Jin boleh hidup sampai 1500 tahun hingga 2000 tahun. Ada jin yang hidup di zaman Rasulullah SAW yang masih hidup pada hari ini.
Makanan jin adalah wap dari tulang dan tulang som-som binatang. Sebab itulah dalam syariat Islam, makruh kita memakan tulang dan tulang som-som. Ada lagi cerita tentang jin dalam kitab. Sesetengah orang soleh boleh menundukkan jin, mengguna dan memperalatkan mereka. Kita tahu, dalam sejarah, ada sahabat yang hilang unta di padang pasir. Di padang pasir banyak rijalul ghaib. Mereka berkata; “Ya Rijalul ghaib, kembalikan untaku yang hilang.” Maka unta itu dikembalikan. Ini tawassul namanya.
Pernah Rasulullah SAW berjalan-jalan dengan beberapa orang sahabat dan singgah di suatu kampung jin. Rasulullah beritahu para sahabat supaya tunggu dan jangan ikut, sebab dia mahu masuk ke kampung jin untuk mengajar. Cerita ini masyhur dalam sejarah. Para sahabat hanya melihat asap. Sebab adakalanya jin menyerupai asap kerana dia berasal dari api. Tetapi Rasulullah melihat betul-betul jin itu dan mengajar mereka pula.
Ada cerita tentang Nabi Sulaiman di dalam Quran yang hendak membawa istana Balqis dari Yaman ke Palestin yang jauhnya beribu-ribu batu. Antara mukjizat Nabi Sulaiman diarahnya jin untuk membawa istana tersebut. Jin pun bagi tahu dia akan bawa istana itu kepada Nabi Sulaiman selama mana Nabi Sulaiman berubah tempat. Tidakkah itu hebat.
Namun ada lagi yang lebih hebat. Seorang wali Allah yang bernama Asif Barhaya yang turut berada dalam majlis itu berkata saya boleh pindahkan istana Balqis ke hadapan tuan dalam sekelip mata. Maka tercabar jin. Dia hendak ambil hati Nabi Sulaiman dan hendak tunjuk bahawa dia gagah. Tetapi ada manusia bertaraf wali yang mencabar dia.
Rupanya di sini kalau ruh muqaddasah bekerja, jin pun boleh kalah. Rasulullah boleh tundukkan jin. Para wali juga dengan karomah mereka boleh menundukkan jin dengan kekuatan diri mereka sendiri. Tetapi kalau ada murid yang boleh nampak jin atau boleh gunakan jin, dan merasakan itu adalah kerana berkat gurunya, maka dia akan selamat. Yang tidak selamat biasanya orang yang kasyaf, nampak jin dan boleh guna jin tapi tidak ada guru atau ada guru tetapi hatinya telah berubah. Dia rasa bukan berkat gurunya lagi tetapi dia rasa dirinya sudah jadi wali, sudah ada karomah sendiri. Itu yang rosak. Orang yang boleh arahkan jin dan nampak jin dengan berkat gurunya, kalau dia berhadapan dengan jin yang garang sangat atau degil sangat, maka biasanya ruh muqaddasah gurunya turut hadir atau dia jual nama gurunya.
Begitulah rahsia jin. Jin ada disebut dalam Quran dan dalam hadis. Siapa menolak kewujudan jin ertinya dia menolak Al- Quran dan Hadis. Jin macam malaikat juga. Quran kata ada, adalah. Tetapi pelik, tentang malaikat ramai orang terima tetapi tentang jin ramai orang tolak. Yang dikatakan orang Bunian, pontianak, pelesit, toyol, polong, langsui, hantu raya dan berbagai-bagai lagi itu asalnya ialah jin. Oleh kerana etniknya dan perangainya tidak sama maka orang bezakan dengan nama-nama yang berlainan.
Adapun orang yang berhubung dengan jin atas dasar mukjizat dan karomah, maka dia kuat. Jin pun takut dan hormat pada dia. Orang yang boleh berhubung dengan jin atas dasar berkat tuan guru, dia tidak boleh sekali-kali terputus dengan gurunya. Orang yang berusaha untuk berhubung dengan jin, itu dinamakan amalan atau ilmu khadam. Bahaya ilmu dan amalan khadam ini, dia terpaksa tunduk dengan jin. Jin akan bagi syarat buat begitu dan buat begini. Kadangkadang arahan jin itu bertentangan dengan syariat. Ini yang rosak.
11 Antara Perintah Dan Fitrah
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:56
Perintah Tuhan itu, ada yang berbentuk suruhan dan ada yang berbentuk larangan. Secara umumnya, membuat apa yang disuruh itu ibadah dan meninggalkan apa yang dilarang itu juga ibadah. Perintah berbentuk suruhan ada yang hukumnya sunat dan ada yang hukumnya wajib. Yang sunat, kalau dibuat dapat pahala. Kalau ditinggalkan tidak mengapa. Kedudukannya elok dibuat. Yang wajib, kalau dibuat dapat pahala. Kalau di-tinggalkan berdosa. Kedudukannya mesti dibuat.
Perintah berbentuk larangan pula ada yang hukumnya makruh dan ada yang hukumnya haram. Yang makruh kalau ditinggalkan dapat pahala. Kalau dibuat Tuhan tidak suka. Kedudukan-nya, elok ditinggalkan. Yang haram, kalau ditinggalkan dapat pahala. Kalau dibuat berdosa Kedudukannya mesti ditinggalkan.
Ada pula perkara yang hukumnya harus atau mubah. Tuhan tidak suruh dan Tuhan tidak larang. Hendak buat boleh. Hendak tinggalkan pun tak apa. Kedudukannya tepuk dada tanya selera. Namun perkara harus ini pun, kalau dibuat tepat dengan syarat-syarat ibadah, maka dapat pahala melakukan-nya. Syarat-syaratnya ialah:
Niatnya betul iaitu kerana Tuhan
Perlaksanaannya betul- tidak melibatkan yang haram
Natijahnya betul - hasilnya dapat kebaikan
Jangan tinggalkan ibadah asas seperti sembahyang, puasa dan lain-lain
Perintah Tuhan ini pula, sama ada perintah suruhan atau-pun perintah larangan, ada yang tidak sesuai dengan fitrah dan naluri kita. Ada pula perintah yang sesuai dengan fitrah dan naluri kita.
Perintah Tuhan yang tidak sesuai dan bercanggah dengan fitrah dan naluri kita, sudah tentulah ditolak oleh fitrah. Kita rasa berat dan tidak suka melakukannya. Tidak ada kepuasan dan kemanisan. Kita buat secara terpaksa, secara ala kadar dan dengan banyak mujahadah.
Kerana terasa berat, perintah seperti ini banyak yang terabai. Hanya orang yang benar-benar takut dengan Tuhan sahaja yang mampu melaksanakannya. Namun, ibadah seperti ini lebih selamat. Lebih mudah dapat pahala dan lebih mudah untuk ikhlas. Kerana ia betul-betul datang dari hati dan dibuat betul-betul kerana Tuhan. Ibadah seperti ini kena diusahakan bersungguh-sungguh. Dan kena mujahadah. Syarat rukun dan sah batalnya sangat dijaga. Justeru itu, melalui ibadah seperti ini, mudah bagi kita mendapat redha, cinta dan keampunan Tuhan.
Contohnya ialah ibadah sembahyang atau solat. Mana ada seronok? Ibadah puasa. Rasa payah hendak buat. Tetapi kerana iman, kita buat juga. Ibadah zakat dan haji. Kena korbankan duit dan kena bersusah payah. Kalau buatpun kena paksa diri. Begitu juga hendak maafkan orang. Rasa berat dilakukannya. Lebih-lebih lagi lah hendak buat baik pada orang yang buat jahat pada kita. Rasa berat sungguh untuk melakukannya. Kecualilah bagi para Rasul, nabi dan para wali Allah. Ibadah-ibadah ini semua sangat manis bagi mereka.
Perintah yang sesuai dengan fitrah dan naluri kita lebih ringan untuk dibuat. Ibadah seperti ini tidak payah disuruh-suruh. Berebut-rebut orang hendak buat. la lebih laju dan rancak. Hasilnya pun lebih banyak. Namun begitu, sangat sukar r dan payah untuk dapat pahala. Sangat susah untuk dibuat kerana Tuhan dan untuk diikhlaskan. Sangat susah untuk dapat redha, cinta dan kasih sayang buat ibadah seperti ini kerana suka., kerana mengikut fitrah atau kemahuan semula jadi. Kerana ikut keinginan kita dan bukan sangat kerana Tuhan.
Contoh ialah perintah Tuhan untuk menuntut ilmu supaya kita jadi pandai dan alim. Ini semua orang mahu. Siapa tidak mahu jadi pandai, ada tempat dalam masyarakat. Mudah dapat jawatan. Mudah cari makan. Orang pun sanjung. Kalau nasib baik, boleh jadi pemimpin. Contoh lagi ialah kita membangun dan maju yang terangkum dalam fardhu kifayah. Ini, semua orang mahu. Siapa yang tidak suka membangun dan maju. la sesuai dengan tuntuan naluri.
Contoh lagi ialah nikah kahwin. Semua orang suka dan mahu. Orang lelaki mahu, orang perempuan pun mahu. Tak payah disuruh-suruh. Mengembara di bumi Tuhan perintah. Siapa yang tidak suka? Semua orang suka melancung. Kalau belanja duit beribu-ribu ringgit pun tak apa. Dapat tengok negeri orang. Dapat ilmu dan pengalaman. Kalau sudah balik, seronok cerita pada orang tentang pengalaman pengembaraan mereka.
Ibadah yang sesuai dengan fitrah dan naluri ini, kerana ramai orang suka membuatnya di samping nilai duniawinya tinggi, maka ramailah orang yang berkempen dan menganjurkannya. Ini termasuklah para ulamak dan pemimpin. Kadang-kadang bukan setakat berkempen dan menganjur malahan diberi segala kemudahan, galakan dan insentif Diberi pinjaman, scholarship (biasiswa), sponsorship (penajaan), khidmat nasihat, kaunseling, kursus dan berbagai-bagai lagi.
Tidak pernah pula orang berkempen dan menganjurkan sembahyang, puasa, sedekah, memaafkan orang atau berkempen supaya manusia berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat pada mereka. Lebih-lebih lagilah untuk memberi galakan, kemudahan dan insentif . Para ulamak dan pemimpin pun kurang bercakap tentang hal ini. Mereka lebih banyak bercakap tentang mencari ilmu, membuat kemajuan dan membangun, melancung dan sebagainya.
Pun begitu, ini masih baik. Kalau tidak dapat berkempen untuk semua bentuk ibadah, memadailah berkempen untuk ibadah-ibadah yang tertentu. Bak kata orang, kalau tak boleh buat semua, janganlah pula tinggalkan semua.
Tetapi yang sedihnya, kempen mereka ini tidak di atas nama Tuhan. Walhal perintah mencari ilmu, membangun, maju dan mengembara itu adalah perintah Tuhan " Atas nama Tuhan" itu disorok dan ditutup. Tidak disebut. Kempen dan galakan itu dibuat atas nama naluri dan fitrah semata-mata. Kita ambil contoh perintah Tuhan dalam mencari ilmu berdasarkan surah Al-Alaq:
Maksudnya: " Bacalah, dengan nama TuhanMu yang telah menciptakan." (Al-Alaq: 1)
Tafsirannya ialah: Carilah ilmu dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.

Tetapi bila orang berkempen supaya cari ilmu, mereka kata-Tengok! Quran pun suruh kita cari ilmu. Mereka lupa hendak tekankan bahawa cari ilmu dalam Quran itu mestilah dengan nama Tuhanmu. laitu mesti kerana Tuhan, mesti mengikut cara yang Tuhan mahu, mesti selari dengan syariat Tuhan dan natijahnya mesti seperti mana yang Tuhan kehendaki.
Disebabkan mencari ilmu itu tidak dikaitkan dengan Tuhan, maka ia menjadi satu usaha yang hanya berlandaskan fitrah dan naluri. Hasilnya orang belajar ilmu kifayah sebelum selesai ilmu ain. Orang kenal benda lain sebelum orang kenal Tuhan. Orang belajar ilmu tak kira di mana. Ada orang Islam yang belajar ilmu Islam di dalam gereja. Guru mereka pula paderi Nasrani dan pendita Yahudi yang tidak beriman malahan yang memusuhi Islam. Ilmu yang mereka perolehi tidak mem-buatkan mereka merasa rendah diri dan tawadhuk dengan Tuhan malahan dengan ilmu itu, mereka jadi angkuh dan sombong. Menuntut ilmu itu tidak jadi ibadah bagi mereka kerana tidak dikaitkan dengan Tuhan.
Mereka menuntut ilmu khusus untuk kepentingan ekonomi dan dunia mereka walaupun ilmu yang dituntut itu ilmu agama. Mereka belajar untuk mendapat kerja, pangkat dan jawatan dan bukan untuk menjadi orang bertaqwa yang mengabdi diri kepada Tuhan dan berkhidmat kepada manusia. Jangankan hendak mendidik orang lain dengan ilmu yang ada pada mereka, mereka sendiri pun tidak terdidik dengan ilmu mereka itu.
Ini dalam soal mencari ilmu. Kita boleh qiaskan perkara ini dengan perintah dan ibadah-ibadah lain yang sesuai dengan fitrah dan naluri kita seperti membangun, berkemajuan, mengembara, nikah kahwin dan sebagainya. Betapa kita mengenepikan Tuhan dalam kerja-kerja seperti ini seolah-olah itu semua bukan perintah Tuhan. Kita buat mengikut suka hati dan selera kita sahaja. Betapa para ulamak dan para pe-rnimpin berkempen untuk kita maju dan membangun tetapi syarat tuntutan "dengan nama Tuhan" itu tidak disebut dan disembunyikan.
Justeru, dalam semua kerja itu, kita tidak niatkan kerana Tuhan. Oleh itu ia tidak jadi ibadah. Kita langgar pula semua peraturan, hukum-hakam dan syariat Tuhan dalam melaksanakannya. Asalnya, semua kerja tersebut adalah ibadah dan perintah Tuhan. Tetapi kita telah memansuhkan nilai ibadah nya dan kita terjebak pula dengan dosa dan maksiat dalam melaksanakannya kerana mengenepikan syariat Tuhan.
12 Murid Nakal Dan Baik, Kedua Duanya Perlu Dididik
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:56
Di manapun kita lihat, kalau ada murid-murid yang berkumpul,sama ada di sekolah, di asrama atau di mana-manapun, ada murid yang kita anggap baik dan ada murid yang kita anggap nakal atau sudah sampai ke peringkat jahat. Hanya mungkin di sekolah atau asrama yang tertentu,tahap kenakalan dan peratus murid yang nakal itu kurang. Oleh itu kenakalan mereka tidak memberi kesan yang terlalu banyak. Dimana peratus murid yang nakal dan tahap kenakalan mereka terlalu tinggi, ini mungkin akan mengubah suasana sekolah atau asrama.Akan lebih banyak berlaku pergaduhan, kecurian, gansterisme, buli membuli dan masalah kurang disiplin.

Pandangan para guru atau warden asrama pula terhadap perkara ini pada umumnya adalah stereotaip. Biasanya murid-murid yang baik perangai dan kelakuan mereka diberi kurang perhatian.Perhatian dan masa ditumpu kepada murid-murid yang nakal,yang super active, yang hyper-active atau yang jahat. Mereka inilah yang dibimbang-bimbangkan dan dirisau-risaukan.

Sebabnya jelas. Murid-murid yang baik kurang menimbulkan masalah. Mereka kurang bergaduh, tidak melanggar peraturan sekolah atau asrama dan agak berdisiplin. Yang banyak menimbulkan masalah ialah murid-murid nakal, jahat,yang super dan hyper-active. Mereka inilah yang banyak ditegur, dimarahi, dihukum dan didisiplinkan.

Sikap seperti ini ada kelemahan dan ada kekurangan yang tersembunyi. Kalau tidak dibongkar, para guru dan warden tidak akan sedar dan akan terus membuat lebih banyak kesilapan.Kalau tujuan dan matlamat para guru dan warden hanyalah supaya dapat mengawal suasana dan para murid yang nakal dapat dikawal supaya tidak menimbulkan kekecohan dan huru-hara di sekolah dan asrama demi untuk menjaga nama baik sekolah dan asrama, maka layaklah sikap ini diteruskan. Tetapi kalau tujuan para guru dan warden adalah untuk mendidik para murid supaya mereka menjadi manusia yang terdidik dengan perangai dan akhlak yang sempurna hingga ia menjadi pakaian dan darah daging mereka sampai bila-bila, maka sikap ini perlu dibetulkan dan diubahsuai.

Dalam konsep pendidikan Islam, kedua-dua golongan,sama ada yang baik mahupun yang nakal atau jahat, samasama memerlukan perhatian. Yang nakal dan jahat perlu dididik dengan rasa takut kepada Tuhan supaya mereka jadi baik. Yang sudah semulajadi baik perlu dididik supaya baik mereka itu bukan setakat baik semula jadi tetapi baik kerana takutkan Tuhan. Murid jahat mesti jadi baik kerana takutkan Tuhan. Murid baik juga mesti jadi baik kerana takutkan Tuhan.

Kalau elemen takutkan Tuhan ini tidak ada, jahat sudah tentulah jahat tetapi baik belum boleh dianggap baik pada pandangan Islam. Baik semula jadi belum tentu baik.Murid jadi nakal dan jahat kerana disepanjang hidup mereka tidak diperkenalkan kepada Tuhan. Oleh itu sifat takutkan Tuhan tidak ada. Justeru nafsu mereka tidak terdidik dan berkeadaan liar. Mereka berni buat sesuka hati dan mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Tidak ada apa-apa yang mereka takutkan. Tuhanpun mereka tidak takut. Kalaupun mereka ini nampak baik dan tidak menimbulkan masalah disekolah atau di asrama, ini adalah kerana mereka takutkan hukuman dan tindakan disiplin. Jika kawalan kurang dan mereka tidak diawasi sepenuhnya, kejahatan mereka akan timbul dan terserlah juga. Mereka terkawal hanya kerana adanya pencegahan yang bersifat luaran.

Kalau pencagahan luaran ini kendur atau berkurangan atau mereka yakin tidak akan ditangkap, maka mereka akan berperangai mengikut sifat semulajadi mereka yang nakal dan jahat itu. Mereka takutkan hukuman lebih dari Tuhan.Ada pula murid yang baik tetapi bukan kerana takutkan Tuhan. Mereka jadi baik kerana suasana keluarga mereka baik atau kerana suasana kampung mereka baik. Oleh itu mereka pun terikut menjadi baik. Baik ini baik semulajadi. Baik ikut suasana dan environmen. Kalau suasana tidak berubah, mereka akan kekal baik. Tetapi kalau suasana berubah dan mereka terpengaruh, terancam, tergugat atau teruji, sifat mereka yang baik itu akan hilang dalam sekelip mata. Sifat jahat mereka pula akan terserlah.

Sifat baik seperti ini tidak mencengkam hati. Sifat baik ini belum lagi sifat hatinya yang sebenar. Ia belum jadi pakaian.Ia hanya melekat dan tidak bersemadi didalam hati. Ia tidak tahan diuji. Murid baik seperti ini pada hakikatnya masih jahat.Dia ada potensi untuk menjadi jahat. Ini kerana kejahatan masih bersarang dalam lubuk hatinya. Walaupun luarannya baik, hatinya masih jahat. Dia ibarat sebuah bom jangka.

Kalau suasana berubah, bila-bila masa sahaja dia akan meletup.Murid baik seperti ini mesti dididik supaya baiknya itu adalah kerana takutkan Tuhan dan bukan hanya kerana pengaruh keluarga, suasana dan environmen. Itu sebab kita lihat ramai pencuri, perompak, pembunuh dan perogol yang kita tidak sangka sebab mereka nampak macam baik namun hati mereka jahat. Datuk sendiri pun ada yang merogol cucunya.

Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah orangnya.Kalau jahat daging itu maka jahatlah orangnya. Ketahuilah, itulah hati.

Di sini kita dapat faham bahawa untuk menjadikan seseorang itu benar-benar baik, hatinyalah yang patut dididik dan dijadikan baik. Untuk membaiki hati, perlu kepada didikan dan mujahadah untuk menundukkan nafsu. Kuncinya ialah dengan membawa hati dan nafsunya supaya takutkan Tuhan dan cintakan Akhirat. Murid jahat kena dididik hatinya. Murid yang baik pun kena dididik hatinya. Kedua-duanya tidak boleh dibiarkan.

Tuhan sudah tentu tidak menyukai orang yang jahat hati dan jahat perangainya. Tuhan juga tidak mengiktiraf orang yang baik perangainya tetapi jahat hatinya. Yakni orang yang berpura-pura baik atau yang berkelakuan baik tetapi bukan kerana dorongan hatinya tetapi atas alasan dan kepentingan lain atau memang sudah kebiasaannya begitu. Tuhan tidak melihat kepada lahir seseorang itu tetapi Tuhan melihat kepada apa yang ada didalam hatinya.

Hakikat diri manusia itu adalah hatinya. Kalau baik hatinya maka baiklah dia. Kalau jahat hatinya, maka jahatlah dia walaupun dia tidak berbuat jahat dan pada lahirnya dia nampak baik. Kalau dia baik di sisi manusia kerana dia tidak membuat kejahatan, tetapi kalau hatinya jahat, dia tetap jahat di sisi Tuhan.Orang yang membuat jahat lahir, dia ada dua kejahatan.

Satu jahat lahir yang dibuatnya dan satu lagi jahat hati yang mendorongnya membuat kejahatan lahir tersebut. Orang yang jahat hati, dia tetap berdosa kerana kejahatan hatinya itu walaupun pada lahirnya dia tidak membuat apa-apa kejahatan.Kejahatan hati itu adalah segala sifat mazmumah ( sifat keji) yang bersarang dalam hati. Iaitu hasad dengki, panas baran,pemarah, dendam, sombong, angkuh, tinggi diri dan lain-lain lagi.

Ia adalah dosa batin, dosa rohaniah atau dosa hati. Ia adalah lebih halus dan lebih seni dari dosa lahir. Dosa lahir mudah kita kesan dan mudah kita bertaubat. Hendak buat dosa lahir pun bukan senang. Ia susah kerana kita kena berusaha untuk membuatnya. Ada banyak resiko. Tetapi dosa hati kita tidak sedar. Buat dosa hati pula mudah. Orang pun tidak tahu. Ramai manusia terlibat dengan dosa hati tanpa bertaubat dan mati membawa dosa-dosa tersebut.
13 Antara Ilmu Dan Realiti
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:57
Dalam apa pun yang kita hendak buat kita perlu ada ilmu tentang perkara tersebut. Ilmu menjadi asas-nya. Namun, ilmu sahaja selalunya tidak memadai.
Begitu juga dalam hendak menilai atau hendak mengukur sesuatu perkara, tidak memadai kita mengukur sesuatu itu hanya dengan ilmu atau secara ilmiah semata-mata. Secara ilmiah, hanya akan tercetus ilmul yakin atau keyakinan yang berdasarkan kepada ilmu sahaja. Ilmul yakin masih terdedah kepada berbagai-bagai keraguan dan faktor-faktor yang belum tentu. Mungkin ilmu kita tidak tepat atau tidak cukup atau tidak mengikut dan tidak mengambil kira perubahan yang berlaku atau variasi yang wujud dalam satu-satu hal, perkara atau situasi itu.
Mendasarkan sesuatu kepada ilmu semata-mata tidak semestinya akan menghasilkan kepastian atau ketentuan yang nyata.
Justeru itu, di samping ilmu, kita mesti juga ukur sesuatu perkara itu dengan realiti. Realiti membuahkan kepastian dan ketentuan. Realiti mampu mencetuskan ainul yakin atau yakin yang berdasarkan realiti yang kita lihat yang tentunya lebih kuat dari ilmul yakin.
Contohnya, kita hendak mencipta suatu alat untuk membuat tali. Berdasarkan kepada ilmu dan kepakaran yang ada, mungkin kita akan dapat membuat lakaran teknikal atau technical drawing untuk membuat alat tersebut. Berikutan itu, kita mungkin juga akan dapat membuat alat tersebut di dalam workshop tepat dengan kehendak lakaran teknikal yang kita buat itu. Tetapi sama ada alat tersebut boleh berfungsi seperti mana yang kita kehendaki tidak dapat kita tentukan. Hasil ilmu dan kepakaran kita itu perlu dipastikan dengan ujian-ujian praktikal untuk menentukan ia benar-benar boleh berfungsi. Ujian praktikal ini sebenarnya ialah ukuran realiti. Kalau secara realitinya alat tersebut boleh digunakan untuk membuat tali, maka barulah ia dianggap berjaya. Kalau tidak, pembetulan, ubah suai dan pelarasan perlu dibuat terhadap alat tersebut sehingga segala masalah dapat diatasi.
Begitu juga kalau kita mencipta suatu resipi masakan. Memang, kita boleh masak mengikut resipi yang kita cipta itu. Akan tetapi, berjaya atau tidak, sedap atau tidak resipi tersebut perlu ditentukan dengan ujian cita rasa. Kita mesti rasa hasil masakan resipi itu. Baru kita tahu ianya baik atau tidak. Merasa masakan inilah yang dinamakan ukuran berdasarkan realiti seperti dalam peribahasa Inggeris, " the proof of the pudding is in the eating".
Begitulah juga dengan ciptaan kereta, kapal atau pesawat terbang. Setakat mana hebat pun ilmu dan kepakaran yang digunakan, prototaipnya mesti melalui berbagai-bagai ujian realiti sebelum ianya diluluskan untuk kegunaan umum.
Kalau tidak, akan terjadilah apa yang telah berlaku kepada kapal Titanic yang tenggelam di Lautan Atlantik pada pelayaran sulungnya. Kapal yang dikatakan hebat, sink proof (tidak boleh karam) dan termoden itu, nyata pada realitinya adalah kapal yang tidak selamat. Keluli yang digunakan untuk membuat badan kapal itu tidak tahan suhu sejuk. la menjadi rapuh dan mudah pecah apabila terlanggar bongkah ais (ice-berg).
Pernah berlaku di bandar raya Kuala Lumpur, pihak yang merancang pengawalan lalu lintas dengan menggunakan sistem berkomputer terlalu yakin dengan ilmu mereka. Mereka berkata sistem berkomputer mereka cukup canggih tetapi keberkesanannya telah diganggu oleh polis trafik yang mengawal lalu lintas secara manual. Lantas pihak polis trafik menarik semua anggota-anggota kawalan trafik mereka supaya tidak keluar mengawal lalu lintas.
Maka berlakulah huru-hara jalan raya yang terbesar yang pernah dialami oleh bandar raya Kuala Lumpur. Ibarat peri-bahasa Inggeris, " All hell broke loose" . Ramai yang lambat sampai ke pejabat. Ramai yang lambat balik ke rumah dari pejabat. Ramai yang tidak dapat ke masjid, kerana peristiwa itu berlaku pada hari Jumaat. Selepas polis trafik dirayu agar bertugas semula, barulah keadaan menjadi reda dan kembali normal. Inilah kesan buruk menilai sesuatu dengan ilmu semata-mata tanpa diukur dengan realiti.
Perkara ini ada juga relevannya dengan kaedah mentafsir atau memahami ayat-ayat Quran atau Hadis. Kita bawa beberapa contoh.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)
Kebanyakan ulama mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Islam. Mereka mentafsirkan, kalau semua orang Islam sama-sama berpegang dan mengamalkan syariat Islam maka mereka akan bersatu padu. Itu ilmunya. Tetapi, realiti yang kita lihat tidak begitu. Ramai orang-orang Islam yang sama-sama sembahyang, berpuasa, berzakat dan pergi menunaikan haji tidak bersatu padu.
Malahan dalam satu masjid pun mereka bergaduh. Masjid dan surau sekarang ini bukan lagi tempat berkasih sayang dan bermasyarakat tetapi telah menjadi tempat pergaduhan, perbalahan, perebutan pengaruh dan jawatan dan pecah belah. Sesama ahli jawatankuasa masjid pun berlaku perbalahan dan rebutan kuasa. Tidak kurang juga umat Islam bergaduh semasa menunaikan haji. Yang bunuh membunuh pun ada.
Tafsiran seperti ini tidak meyakinkan sebab ia bercanggah dengan realiti. Namun ada tafsiran ulama-ulama lain yang lebih meyakinkan dan lebih hampir kepada realiti. Mereka mentafsirkan tali-tali Allah itu bukan setakat syariat Islam tetapi ialah rasa cinta dan rasa takut kepada Allah. Kalau semua umat Islam sama-sama cinta dan takut kepada Allah, maka Allah akan ikat hati-hati mereka dan mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain.
Dalam sepotong ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Yang paling bertaqwa di kalangan hamba-hamba-Ku ialah ulama." (Al Fathir: 28)
Tetapi kita lihat ini terlalu jauh dari realiti. Ramai ulama yang tidak bertaqwa. Ada yang terang-terangan terlibat dengan maksiat. Ramai yang terpengaruh dan tertambat hati dengan dunia dan kepentingan peribadi. Ramai yang akhlak mereka menjadi tanda tanya. Ramai pula yang menjual ayat-ayat Allah dengan nilai dunia yang sedikit.
Lebih hampir kepada realiti kalau istilah "ulama" di dalam ayat ini dimaksudkan kepada "ulama ul amilin" atau ulama yang beramal dengan ilmu mereka dan bukan semua atau sebarang ulama. Ini dikuatkan lagi dengan Hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang wujudnya "ulama` suuk" atau ulama jahat yang kerja mereka ialah merosakkan manusia. Jadi, bukan semua ulama itu bertaqwa.
Rumusannya, kita perlu jadikan realiti itu sebagai satu bentuk ukuran yang patut diguna pakai di mana boleh, dalam kita menilai sesuatu perkara. Ini kerana ia lebih hampir kepada kebenaran. Justeru itu, kita akan lebih yakin dan lebih adil dalam kita membuat penilaian. Penilaian dengan ilmu tidak salah. Tetapi di mana realiti boleh digunakan, kita patut bersandar kepada realiti lebih daripada kita bersandar kepada ilmu semata-mata.
14 Kesan Melebihkan Kepentingan Diri
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:57
Adil itu ialah satu sifat yang hampir kepada taqwa. Kupasan dan maksud adil sangat luas. Adil pada pandangan Islam jauh berbeza dari apa yang difahami oleh orang yang bukanIslam atau orang Islam sendiri yang tidak terdidik secara Islam. Adil bererti saksama. Adil bukan juga bererti sama rata. Adil ialah menaruh hak pada yang hak, walaupun pada nya, ia nampak tidak seimbang.
Hendak berlaku adil bukan mudah. Contohnya, kalau kita dan tidak suka pada seseorang itu, apa sahaja yang dia buat, kita rasa takkena. Tapi kalau kita suka dan sayang pada seseorang itu, segala yang dia buat semuanya betul belaka.
Kalau orang yang kita benci buat salah yang kecil, sangat besar salahnya kepada kita. Tetapi kalau orang yang kita suka buat salah besar pun, kita anggap kecil sahaja.
Kalau orang yang kita suka membuat sesuatu kebaikan atau membuat sesuatu urusan, maka kita sanjung dan kita puji dia. Tetapi kalau orang yang kita benci membuat sesuatu atau berjaya dalam sesuatu urusan, kita anggap biasa sahaja. Kita kata, memang sudah kerja dia.
Punca berlakunya perkara ini ialah kerana kepentingan diri itu kita lebihkan. Menyukai dan menyayangi seseorang itu dan kemudian menyebelahinya dan melebihkannya dalam segala hal termasuklah dalam maksud kepentingan diri.

Kepentingan diri, tidak semestinya di hala kepada diri sendiri sahaja. Kepentingan diri termasuk juga yang bersangkut-paut dengan orang-orang yang ada kena-mengena dengan kita atau orang yang kita sayang, baik isteri, keluarga, anak-anak, ahli kumpulan kita, "clique" kita, kroni kita dan lain-lain lagi. Kepentingan diri inilah yang menjadi punca berlakunya huru-hara di kalangan manusia. Setiap orang melebihkan pihaknya.. Setiap kali pihaknya dilebihkan, maka akan berlaku kekurangan di pihak yang lain. Pihak yang lain itu akan rasa dikurangi, dizalimi, ditindas, ditekan dan dianiaya. Mereka pun bertindakbalas. Maka berlakulah krisis dan pergaduhan yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan.
Melebihkan kepentingan diri ini pula ada dua bentuk. Ada yang dilebihkan dengan niat. Ada pula yang dilebihkan secara spontan. Secara yang dilebihkan dengan niat iaitu yang dirancang, yang disusun dan yang diatur, sudah pastilah jahat. Ia didorong oleh nafsu jahat dan sifat-sifat mazmumah dan keji yang bersarang di hati.
Ini sangat banyak berlaku. la berlaku dalam pentadbiran negara. Dalam politik. Dalam pejabat. Dalam sekolah. Malahan dalam sebuah rumah tangga pun ia berlaku. Maka tidak hairanlah berlaku krisis dan pergaduhan di tempat-tempat tersebut kerana timbul rasa tidak puas hati, buruk sangka, rasa dizalimi, dianiayai dan sebagainya.
Akan tetapi, kadang-kadang kita tidak mahu jahat. Kita tidak mahu melebihkan kepentingan diri kita dan kita tidak mahu berat sebelah dalam membuat pertimbangan tetapi ia terjadi juga. Ini kerana melebihkan kepentingan diri ini boleh berlaku secara spontan atau secara tidak sedar. la banyak membuatkan kita silap dan tersalah dalam membuat pertimbangan. Kita tidak perasan dan tidak sengaja. Justeru itu, kita tidak dapat mengawal perasaan dan tindak-tanduk kita.
Perkara ini selalu terjadi dalam kehidupan kita seharian. Kadang-kadang, kanak-kanak dalam satu kampung bermain dan kemudian berkelahi. Ini biasalah bagi kanak-kanak. Tetapi apabila kanak-kanak itu sedang berkelahi, membaling-baling batu atau bergumpal-gumpal di atas tanah, spontan si ibu jadi cemas dan tidak sabar. Datanglah si ibu untuk menyelamatkan anaknya dan memarahi atau memukul anak yang seorang lagi.
Ibu anak yang kena pukul itu pula spontan jadi marah. Maka dia pun turun untuk membela anaknya. Maka berkonfrantasilah kedua-dua ibu itu. Kadang-kadang terus bergaduh dan bertarik-tarik rambut. Paling tidak bermasam-masam muka dan bertukar-tukar kata-kata kesat dan menyindir. Belum pun kedua-dua ibu itu selesai bergaduh, kedua-dua anak tadi berbaik semula dan bermain bersama seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Begitu juga dalam keluarga yang memanjakan anak bongsu. Apa sahaja yang dibuat oleh anak bongsu itu semuanya OK. Ayah tidak pernah marah. Ibu pun tidak pernah marah. Kalau anak bongsu itu bergaduh dengan kakak-kakak atau abang-abangnya, kakak dan abangnyalah yang kena marah. Walaupun nyata anak bongsu itulah yang nakal dan yang memulakannya.
Begitulah juga kalau berlaku pergaduhan antara orang kampung kita dengan orang kampung lain, antara murid sekolah kita dengan murid sekolah lain atau antara orang bangsa kita dengan orang bangsa lain. Cepat sangat kita hendak menyebelah orang kita seolah-olah orang kita mustahil boleh buat salah. Kita jadi prejudis dan buruk sangka dengan pihak lain. Kemampuan kita untuk menimbang dengan saksama dan adil terjejas disebabkan silap kita yang mementingkan diri itu.
Dalam semua kejadian di atas, tidak pernah dipersoal siapa benar dan siapa salah. Hanya siapa yang lebih disayangi. Orang yang kita sayang itulah yang benar. Yang kita kurang sayang itu secara otomatik dianggap salah. Ini bukan keadilan. Ini pertimbangan yang berat sebelah.
Begitulah sukarnya untuk membuat pertimbangan dan berlaku adil kalau kita terlalu melebihkan kepentingan diri, lebih-lebih lagi kepentingan diri yang berlaku secara spontan yang di luar kawalan kita dan yang kita tidak sedar. Hanya hati yang sentiasa bersama Tuhan, yang sentiasa merasakan kehadiran Tuhan dan yang penuh dengan rasa bertuhan dan rasa kehambaan sahaja yang dapat mengawal kepentingan diri secara spontan ini dari menguasainya.
Untuk mengawal kepentingan diri secara spontan ini bukan mudah dapat dicapai, tetapi ia tetap perlu untuk memupuk keluarga atau masyarakat yang adil dan harmoni. Itu sebab untuk menjadi adil, untuk mencetus kasih sayang sesama manusia, untuk menjadi orang yang bertimbang rasa, kita perlu kepada Tuhan. Hanya apabila Tuhan diimani, dicintai dan ditakuti, barulah mudah bibit-bibit ini dapat disemai di dalam hati kita.
16 Peringatan Untuk Pemimpin
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:57
Mana mungkin seorang pemimpin yang tidak mengenali Tuhan dapat membawa manusia kepada Tuhan. Mana mungkin seorang pemimpin yang tidak merasai kehambaan dan merasai bertuhan dapat menanamkan rasa tersebut di hati manusia. Mana mungkin pemimpin yang hatinya lalai dari mengingati Tuhan boleh membawa hati manusia untuk mengingati Tuhan.

Adalah mustahil pemimpin yang derhaka kepada Tuhan dapat membentuk manusia lain untuk taat dan patuh kepada Tuhan. Pemimpin yang tidak terdidik atau tidak berupaya mendidik dirinya dengan iman dan taqwa, tidak akan berupaya mendidik manusia kepada iman dan taqwa.

Pemimpin yang gagal menundukkan nafsunya pasti gagal untuk membawa manusia lain menundukkan nafsu mereka. Pemimpin yang zalim tidak akan mampu menjadikan rakyatnya berlaku adil. Pemimpin yang bengis, keras, kasar, pemarah, ego dan sombong pasti tidak mampu membawa kasih sayang dan menyatupadukan manusia.

Dalam apa keadaan pun pemimpinlah yang mesti mendahului orang lain dalam berbuat, barulah kejayaan bakal terjadi kepada orang lain. Hatta pemimpin perompak dan penyangak sekalipun, dirinyalah yang memiliki kepunahan akhlak paling teruk. Kalau tidak, dia sendiri pun tidak layak menjadi pemimpin kepada mereka yang jahat dan rosak akhlak.

Betapalah untuk menjadi pemimpin yang baik yang bercita-cita dan mahu mencetuskan kebaikan kepada manusia. Yang mahu melihat manusia menjadi baik, mengenali Tuhan, hidup bersyariat, berkasih sayang, bersatu padu dan bertolong bantu. Pemimpin yang hendak membentuk manusia soleh, maka dirinya mesti memiliki ciri-ciri super soleh. Pemimpin yang bercita-cita membawa hati manusia merasai bertuhan, maka hatinya sendiri mestilah berada pada tahap keupayaan menjadi penghubung kepada Tuhan.

Dalam ajaran Islam, syarat-syarat dan ciri-ciri kepimpinan adalah amat ketat. Bukan sebarang orang yang boleh dengan mudah mengaku mampu menjadi pemimpin. Lebih-lebih lagi Islam amat menolak orang yang hanya semata-mata mahu menjadi pemimpin. Dalam soal kepimpinan, bukan soal siapa mahu, tetapi ialah siapa yang mampu. Sedangkan yang mampu itu sudah menjadi sunnatullah amat sedikit jumlahnya.Kerana pada asasnya pemimpin sejati yang ada jaminan selamat dan menyelamatkan ialah mereka yang dipimpin oleh Tuhan. Mereka adalah para nabi dan rasul serta pemimpin pilihan Tuhan yang berwatak nabi dan berwatak rasul. Antara kedua-dua pemimpin ini, yakni yang berwatak rasul saja yang layak memimpin seluruh kehidupan manusia, walaupun tidak salah untuk manusia mengikutinya. Ini kerana para nabi dan pemimpin berwatak nabi hanya memimpin di bidang ibadah dan akhlak sahaja.

Tugas dan peranan para pemimpin banyak memberi tunjuk ajar kepada manusia. Maka yang lebih utama didahulukan ialah memberi tunjuk ajar kepada diri sendiri. Mesti mampu mendidik mampu menundukkan nafsu sendiri, mampu berakhlak sempurna dan mampu menjadi model dalam segala hal khususnya ilmu dan minda, ibadah, akhlak, kepimpinan dan rumahtangga.Manusia terjamin selamat di bawah naungan pemimpin super model ini. Pemimpin pilihan yang bertaqwa ini sentiasa dinaungi oleh Tuhan. Rezekinya Tuhan yang tanggung. Masalahnya Tuhan yang selesaikan. Ilmu dan mindanya Tuhan yang ajarkan dalam bentuk ilham atau firasat. Strateginya tepat kerana ilham dari Tuhan. Dia adalah sumber kekuatan, kekayaan, kebijaksanaan, keupayaan, kepintaran dan kemampuan. Musuhnya Tuhan yang tewaskan. Dengan kerananya maka orang lain dibantu.

Kehadiran pemimpin pilihan Tuhan ini, bumf menjadi dingin kerana turunnya rahmat Tuhan. Kepalsuan menjadi reda. Kejahatan merosot. Ketegangan menjadi kendur. Hati menjadi lembut dan lunak serta mudah menerima kebenaran dan kebaikan. Hati yang degil menjadi luntur. Maksiat dan kemungkaran menurun kerana hati-hati manusia turut terproses dengan sendiri, yang mereka merasa gementar dan gerun. Musuh-nuisuh mengakui kebenaran tetapi hasad dengki mengongkong mereka lanfas menolak kebenaran yang dibawa dan diperjuangkan oleh, pemimpin bertaqwa.

Sepanjang sejarah, Tuhan telah buktikan bahawa pemimpin inilah akhirnya yang beroleh kemenangan, kerana Tuhan kehendaki mereka menang. Tiada kuasa yang berupaya menembusi kuasa Tuhan. Musuh-musuhnya Tuhanlah yang menumpaskannya kerana Tuhan kehendaki yang batil dan pemimpin zalim itu tumpas.

Pemimpin zalim di zaman mana pun, sejarah telah membuktikan yang dengan bukti sejarah itu wajar dijadikan iktibar, bahawa akhirnya mereka kecundang. Betapa gagahnya Firaun, Qarun, Ham-mad, Namrud, Abu Lahab, Abu Jahal, Al Walid bin Mughirah, kuasa empayar Rom dan Farsi, keutuhan Kota Konstantinopal, semuanya kecundang di tangan pemimpin kebenaran. Sejarah pasti berulang. Tunggulah masanya untuk menentukan siapa lagi selepas ini yang bakal menerima nasib yang sama, ia pasti berulang.

Watak zaman kebangkitan Islam kali kedua ini sama saja dengan watak zaman kebangkitan Islam kali yang pertama, terutamanya Tuhan benar-benar campurtangan dalam memenangkan pemimpin kebenaran hingga menuju ke zaman ummah. Manakala Tuhan juga benar-benar campurtangan dalam melenyapkan pemimpin palsu yang membawa kebatilan dan kezaliman. Inilah zamannya yang mana sejarah itu akan berulang dan sedang berlaku. The history is in the making.
17 Pemimpin Sebagai Wakil Tuhan
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:57
Nabi Musa a.s. merupakan salah seorang rasul yang memiliki darjat Ulul Azmi. Darjat Ulul Azmi ini hanya dikurniakan oleh Allah SWT kepada rasul-rasul-Nya yang sangat sabar dengan karenah atau ragam umat-nya. Nabi Musa a.s. sebelum mencapai darjat tersebut telah dianugerahkan oleh Allah SWT satu pengalaman dan sekaligus menjadi pengajaran untuk bagaimana hendak bersabar menghadapi kaumnya.
Nabi Musa a.s. pernah diberi pengalaman sebagai seorang pengikut kepada Nabi Khidir a.s. Pengalaman tersebut sengaja Allah SWT lakukan kepada Nabi Musa a.s. Melalui pengalaman itu, Nabi Musa a.s. difahamkan oleh Allah SWT tentang betapa sukar dan susahnya seorang pengikut itu hendak memahami kemahuan dan kehendak seorang pe-mimpin, lebih-lebih lagi paling sukar ialah hendak berlaku taat kepada pemimpin.
Apabila Nabi Musa a.s. menjadi "pengikut" kepada Nabi Khidir, syarat utama yang diberikan ialah jangan persoalkan tindakan pemimpin. Ertinya pengikut jangan persoalkan apa saja keputusan, rancangan dan tindak-tanduk pemimpin terutamanya dalam aspekyang tidak difahami.
Seorang pemimpin sejati yang dipimpin oleh Allah SWT, ideanya, keputusan, perancangan dan tindak-tanduknya adalah tepat dan selaras dengan kehendak Allah SWT . Itulah ertinya pemimpin yang dipimpin oleh Allah SWT. Pada diri pemimpin itu dikurniakan ilham dan juga dilimpahkan oleh Allah SWT hikmah yang tidak terhingga. Pemimpin saja yang dapat menyelami ber-bagai hikmah di sebalik sesuatu perkara.
Bagi pengikut pula, mereka jangan mudah mempersoalkan pemimpin. Janganlah kerana ada sesuatu yang kita tidak faham atau sesuatu yang akal tidak dapat mencapainya, lantas mempersoalkannya, lebih-lebih lagilah tidak boleh memprotesnya. Melainkan perlu yakin dan taat saja. Ketaatan itu bukannya satu kesalahan bahkan sangat dituntut. Ini bagi memudahkan seorang pemimpin mengendalikan urusan dan perancangan untuk pengikut. Tentulah akan banyak gangguan apabila pengikut asyik mempersoalkan dan memprotes sesuatu yang datangnya dari pemimpin.
Pengalaman dengan Nabi Khidir itu telah menjadikan Nabi Musa a.s. dapat menyelami dan memahami sikap seorang pengikut. Mulai saat kegagalan dirinya sebagai pengikut yang tidak boleh tahan dengan tindak-tanduk Nabi Khidir a.s. sebagai pemimpinnya, maka Nabi Musa a.s. sangat bersabar terhadap umatnya.

Dari sudut kewajaran, memanglah pengikut mesti taat dan menurut saja kepimpinan seseorang pemimpin. Dari segi teorinya, begitulah yang sepatutnya dan yang sebaiknya. Namun dalam realitinya, para pengikut tidak mudah untuk taat setia. Kerana untuk berlaku taat, pengikut perlu terlebih dahulu menundukkan nafsunya sendiri terutama sifat egonya.
Sangat sedikit di kalangan pengikut ini yang dapat tembus pemahamannya terhadap pemimpin. Lantaran tidak faham dan juga tidak taat pula maka tercetuslah berbagai kontra dan perbezaan pendapat dan pandangan. Maka dari situlah Nabi Musa a.s. menetapkan satu pendirian bahawa selaku pemim-pin umat maka dirinya perlu memiliki sif at sabar yang tinggi. Di atas kesabaran Nabi Musa a.s. terhadap kaumnya itulah maka Nabi Musa a.s. mencapai darjat Ulul Azmi. Nabi Musa a.s. berhadapan dengan Firaun yang kejam.
Ancaman keras dan zalim Firaun itu memaksa Nabi Musa a.s. melarikan diri dari bumi Mesir. Nabi Musa a.s. bersembunyi dan mendapat perlindungan Nabi Shuib a.s. di daerah Madyan. Apabila Nabi Musa a.s. kembali ke bumi Firaun, ketika itu bukan sahaja menghadapi ancaman Firaun, Hamman wazir Firaun dan juga Qarun, tetapi juga menghadapi kaumnya Bani Israil yang terkenal degil dan keras kepala. Bani Israil ini seringkali memperlecehkan dan mempermainkan Nabi Musa a.s.
Apabila datang larangan supaya tidak menangkap ikan hari Sabtu, Bani Israil ini sengaja melanggar larangan tersebut malah mempermainkannya. Mereka memasang pukat pada hari Jumaat. Apabila mereka mengangkat pukat pada Hari Sabtu, mereka dengan mudah memberi alasan bahawa ikan itu telah memasuki pukat pada Hari Jumaat, cuma mereka mengangkatnya pada hari Sabtu.
Begitu juga dengan peristiwa lembu betina (Al Baqarah) yang menjadi salah satu surah dalam Al-Quran. Mereka mempertanyakan lembu yang hendak dipilih itu atas maksud mempermain-mainkan Nabi Musa a.s. dan memperlihatkan kedegilan mereka. Dalam tempoh yang singkat saja Nabi Musa a.s. menaiki Thur Sina untuk bermunajat kepada Allah SWT, sekembalinya dari munajat itu sebahagian pengikutnya sudah berpaling menjadi penyembah berhala.
Ragam umat yang bermacam-macam inilah memerlukan sif at sabar seorang pemimpin.Pemimpiny yang sabar saja yang bakal berjaya memimpin umat. Kesabaran itu pula hanya akan diperolehi dengan bantuan Allah SWT. Maka pemimpin itu perlu sedar bahawa Allah SWT pilih dirinya menjadi pemimpin itu semata-mata sebagai wakil Allah SWT. Wakil Allah SWT ertinya membuat kerja-kerja bagi pihak Allah SWT. Diri-nya hanyalah sekadar salah seorang dari hamba Allah SWT, dan tidak lebih dari itu. Siapanya manusia ini, semuanya ada-lah hamba ciptaan Allah SWT. Di sisi Allah SWT tiada sebarang perbezaan. Hanya yang membezakan dirinya dengan manusia lain ialah pada fungsi, amanah, tanggungjawab dan tugas.
Pemimpin adalah hamba Allah SWT yang diberi peranan dan tanggungjawab untuk memimpin hamba Allah SWT yang lain. Peranan dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT jualah yang akan menyempurnakan urusan kepimpinan itu.
Apabila seseorang pemimpin itu hilang kesabarannya maka dengan sendiri dia sudah cuba memesongkan peranan pemimpin sebagai wakil Allah SWT kepada mewakili dirinya sendiri. Dalam keadaan itu maka bantuan Allah SWT sudah terputus. Maka kepimpinannya gagal dan manusia tidak terpimpin.
19 Kerajaan Bumi Kerajaan Langit
Submitted by admin on Sat, 2007-10-20 12:57
Seorang raja itu, dia berkuasa. Dia memerintah dan mentadbir sesebuah negara. Jentera pemerintahan dan pentadbirannya dinamakan ke-raja-an.

Di zaman tidak ada raja atau raja telah hilang kuasanya, jentera pemerintahan dan pentadbiran tetap dinamakan kerajaan. Bila disebut kerajaan, maka ada berbagai jenis kerajaan. Ada kerajaan langit dan ada kerajaan bumi.

Kerajaan langit ialah kerajaan Tuhan. Segala-galanya di langit di tadbir dan di perintah mengikut hukum-hakam Tuhan. Tidak ada penyelewengan, tidak ada percanggahan sistem dan tidak ada yang tidak taat. Justeru itu, kehidupan di langit aman damai dan tenang. Tidak ada peperangan. Semuanya berjalan dengan licin, lancar dan teratur seperti mana yang Tuhan kehendaki.

Bumi juga satu ketika dahulu, termasuk di bawah pemerintahan kerajaan langit. Semuanya di bumi berjalan dengan baik. Semua makhluk di bumi ketika itu taat dan patuh kepada Tuhan. Tetapi, Tuhan ada jadual dan perancangan-Nya. Diciptakan-Nya manusia supaya menjadi khalifah-Nya di muka bumi. Dihantar-Nya manusia ke bumi dan diserahkan bumi ini untuk ditadbir oleh manusia bagi pihak Diri-Nya.

Maka wujudlah kerajaan bumi yang dikendalikan oleh manusia sebagai tambahan kepada kerajaan langit. Namun, tidak semua perkara di bumi diserahkan kepada manusia untuk ditadbirkan kerana manusia tidak mampu. Manusia hanya perlu mentadbir hal urusan mereka sendiri dan khazanah bumi sahaja. Soal hujan, air, angin, cuaca, iklim, putaran bumi, cahaya matahari, air pasang surut dan sebagainya tetap di bawah pentadbiran kerajaan langit.

Di zaman bumi ini ditadbir dan diperintah oleh orang-orang Tuhan seperti para rasul dan para mujaddid , semua hukum-hakam, peraturan dan sunnah Allah berjalan dengan lancar di muka bumi.

Tetapi di zaman-zaman yang lain, di kala bumi diperintah oleh manusia-manusia yang tidak beriman dan yang melawan dan menentang Tuhan, mereka tolak hukum-hakam Tuhan. Mereka tidak yakin dan tidak percaya dengan peraturan sistem Tuhan. Mereka cipta peraturan dan sistem mereka sendiri. Asalnya mereka dihantar ke muka bumi sebagai hamba dan khalifah Tuhan.

Tetapi mereka memberontak. Mereka tidak rela menjadi hamba. Mereka mahu menjadi tuan dan mahu mentadbir bumi ini ikut selera mereka sendiri. Mereka lupa bumi ini Tuhan punya. Mereka lupa mereka hanya wakil Tuhan. Mereka mahu mengenepikan Tuhan dan mahu mengambil-alih bumi ini menjadi hak mereka dan mentadbirkannya ikut cara mereka. Ini satu rampasan kuasa yang sangat besar dan sangat ketara. Ini satu coup-de-tat yang tidak ada tolok bandingnya.

Ini bukan satu rampasan kuasa di antara sesama manusia. Ini macam hendak merampas kuasa Tuhan atau setidak-tidaknya hendak melepas diri dari kuasa Tuhan. Memang manusia ini tidak tahu malu dan tidak sedarkan diri.

Menumpang di bumi Tuhan tetapi tidak mahu mengikut peraturan dan sistem Tuhan. Cuba bayangkan orang yang kita beri tumpang di rumah kita, tiba-tiba dia hendak ambilalih kuasa di rumah kita. Diubahkan susunan kerusi meja kita ikut selera dia. Ditukar langsir dan alas meja. Dipindahkannya peti ais ke depan dan tv ke dapur. Disusun semula jadual makan, jadual minum dan jadual sarapan. Dia pula yang hendak memerintah dan hendak berkuasa dalam rumah kita. Ini tetamu haprak namanya.

Tambahan pada itu, orang merampas kuasa kerajaan atau kuasa raja, dirampasnya semua kuasa. Bukan sesetengah kuasa sahaja. Tetapi manusia hendak merampas kuasa Tuhan di muka bumi namun tidak pula dia merampas kuasa Tuhan ke atas air, hujan, angin, iklim, cuaca, cahaya matahari dan sebagainya. Dia rampas benda-benda yang dia rasa dia boleh tangani dan boleh handle sahaja.

Tahu pula dia banyak benda dalam dunia ini yang dia tak boleh handle. Itu pun dia nak rampas kuasa juga. Maka manusia mulalah menggunakan segala bentuk kerajaan ciptaan manusia untuk memerintah bumi.

Semuanya berbentuk sekular belaka. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Ada kerajaan komunis. Ada kerajaan demokrasi. Ada kerajaan sosialis. Ada kerajaan beraja. Ada kerajaan republik dan sebagainya.

Diciptalah juga berbagai sistem dan ideologi hasil fikiran akal manusia. Sistem ekonomi kapitalis, pendidikan sekular, kewangan riba, perundangan berat sebelah dan lain-lain lagi. Hasilnya, Tuhan berlepas diri. Apa yang terjadi? Hidup manusia jadi kucar-kacir, huru-hara dan kacau-bilau. Nafsu bermaharajalela. Timbul ketidakadilan, tindas-menindas, tekan-menekan, rebut-merebut dan tikam-menikam. Hilang kasih sayang. Hilang persaudaraan. Hilang perpaduan. Manusia jadi jahat. Jenayah berleluasa. Akhlak manusia rosak. Moral jatuh menyapu bumi. Manusia hidup di dalam ketakutan dan kebimbangan. Sentiasa resah dan gelisah. Hilang ketenangan dan kebahagiaan .

Manusia mula menjadi haiwan. Inilah tamaddun manusia hari ini. Sudah rosak dan merosakkan. Terlalu jauh dengan Tuhan. Dunia sudah jadi neraka. Berlaku kerosakan di lautan dan di daratan hasil usaha tangan-tangan manusia yang telah menolak peraturan, perundangan dan hukum-hakam Tuhan.

Nasib baiklah hujan masih turun. Angin masih bertiup. Matahari masih menyinar dan bumi masih berputar. Kalau semua ini Tuhan serahkan kepada manusia untuk diuruskan, nescaya tidak akan ada lagi manusia di bumi ini.

Di kala mana masyarakat manusia itu jahat, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang jahat sebagi hukuman kepada mereka. Agar mereka rasa bala bencananya. Apabila manusia sedar dan memperbaiki diri, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang baik agar mereka dapat hidup dengan tenang, aman dan damai.

Dan apabila datang pemimpin yang Tuhan tunjuk iaitu orang Tuhan atau pemimpin yang dijanjikan maka kerajaan langit akan membantu kerajaan bumi. Akan turun rahmat dan kasih sayang Tuhan. Kerajaan langit dan kerajaan bumi akan bergabung. Akan wujud kerajaan Tuhan di mukabumi ini. Segala-gala akan berjalan mengikut undang-undang Tuhan. Manusia akan cinta dan takut dengan Tuhan. Manusia akan berkasih sayang dan bersatu-padu. Manusia akan hidup dengan aman dan makmur dan akan mendapat keampunan Tuhan.